TNB agih RM16.9 bilion kontrak - Utusan Malaysia

TNB agih RM16.9 bilion kontrak

Mahdzir Khalid (tiga kiri) bersama Amir Mahmod Abdullah (dua kiri), Amir Hamzah Azizan (tiga kanan) dan Azrilah Abd Aziz (dua kanan) serta kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada majlis pelancaran Program Peningkatan Kemahiran bagi Kontraktor TNB di Bangi, semalam. – Utusan/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM16.9 bilion kontrak telah dianugerahkan kepada syarikat vendor di bawah Program Pengilang dan Kontraktor Bumiputera (PPKB) Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari 1995 hingga 2019.

Ketua Pegawai Perolehannya, Amir Mahmod Abdullah berkata, pemberian kontrak itu membabitkan 822 syarikat merangkumi 32 vendor di bawah kategori pembekal dan 790 vendor di bawah kategori kontraktor.

Katanya, TNB telah mem­peruntukkan lebih kurang RM10 juta bagi membiayai kos Program Latihan Kontraktor bermula 2019 mengikut skop masing-masing.

Sehingga kini, katanya seramai 3,194 pekerja vendor telah selesai menjalani kursus-kursus tersebut.

“Untuk tahun ini, jumlah kontrak yang dikeluarkan tertakluk kepada permohonan pihak kami kepada Suruhanjaya Tenaga (ST). Setakat ini, permohonan baharu masih dipertimbangkan.

“Namun, sebanyak RM7 ­bilion disalurkan bagi perbelanjaan modal untuk projek baharu kerja infrastruktur dan pem­bangunan baharu bagi tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran Program Peningkatan Kemahiran bagi Kontraktor TNB di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Vendor, Kementerian Pemba­ngunan Usahawan dan Koperasi, Azrilah Abd Aziz.

Bagi meningkatkan kecekapan teknikal kepada kontraktor, TNB tahun ini meneruskan PPKB bagi meningkatkan keupayaan teknikal vendor di peringkat domestik dan antarabangsa.

PPKB merupakan kesinambungan daripada Program Pembangunan Usahawan (PPU), kemudian ditambah baik kepada Program Pengilang dan Kontraktor (PPK) bermula 1994 hingga 2019.

Bagi memastikan kecekapan pekerja dan kualiti kerja yang lebih baik dilaksanakan oleh pihak kontraktor di tapak, Bahagian Perolehan dan Rangkaian Bekalan mewajibkan pihak kontraktor memiliki Kad Kelayakan Teknikal berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pihak kontraktor perlu membawa bersama Kad Kelayakan itu di tapak sebagai bukti pekerja kompeten yang telah lulus Program Latihan Teknikal sebelum memulakan kerja.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Mahdzir berkata, inisiatif TNB menerusi program tersebut amat bertepatan untuk meningkatkan kemahiran para kontraktor menerusi peningkatan tahap kecekapan dari segi kemahiran dan keupayaan ­teknikal.

“Ini juga bagi memastikan kerja yang dilaksanakan ber­kualiti serta mengikut prosedur dan piawaian kejuruteraan yang ditetapkan sejajar dengan komitmen TNB yang sentiasa berusaha untuk membangunkan vendor PPKB,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya