KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jualan keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif Malaysia akan meningkat kepada 470,000 unit berikutan langkah-langkah pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, pada mulanya MAA menjangkakan 607,000 unit Januari lalu namun selepas menyemak semula, ramalan TIV kepada 470,000 berbanding semakan awal pada 29 April lalu berjumlah 400,000 unit.
“Kami bersyukur kerajaan mengecualikan cukai jualan 100 peratus bagi harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus untuk CBU (sudah siap sepenuhnya),” katanya di sini semalam.
Tambah Aishah, jangkaan TIV tahun ini masih pada kadar 22.2 peratus atau 134,287 unit lebih rendah berbanding TIV 2019 sebanyak 604,287 unit.
Menurut beliau, pengecualian cukai penjualan di bawah pakej rangsangan ekonomi akan meningkatkan penjualan kenderaan kerana ramai mengambil peluang membeli kereta sebelum pengecualian cukai penjualan berakhir pada 31 Disember nanti.
Katanya, walaupun ada permintaan untuk kenderaan mewah namun ramai yang telah menukar kenderaan kepada yang lebih sederhana dan kecil.
Beliau berkata, penjualan kereta terpakai telah meningkat lebih 100 peratus terutama bagi model berharga bawah RM30,000 di sekitar Kuala Lumpur.
“Ramai yang masih ragu-ragu untuk menggunakan pengangkutan awam dan mereka berasa lebih selamat memandu kereta sendiri. Kadar sewa beli bagi pinjaman kenderaan berada pada tahap berpatutan.
Sementara itu, beliau berkata, pemilik kenderaan mampu milik paling terkesan jika moratorium tidak dilanjutkan.