KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) memperkenalkan rangka kerja tawaran awam permulaan (IPO) dipertingkatkan yang akan berkuatkuasa bermula 1 Januari tahun hadapan.
Menurut SC dalam kenyataan, rangka kerja tersebut adalah untuk mempromosi tanggungjawab bersama yang lebih besar antara pihak berkepentingan utama terbabit dalam penyerahan IPO untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Pada masa sama, rangka kerja itu turut membabitkan proses pengambilalihan berbalik (RTO).
SC berkata, satu daripada ciri utama rangka kerja terbabit juga melibatkan pengenalan perundingan holistik prapenyerahan wajib antara SC dan pihak berkepentingan utama termasuk pemohon, penasihat utama, peguam, akauntan pelapor dan penilai.
“Sesi prapenyerahan wajib itu juga akan memudahkan perbincangan mengenai sebarang isu dan masalah penting sebelum penyerahan permohonan IPO,” katanya.
Jelas SC, rangka kerja baharu itu juga akan menyediakan tempoh pendedahan draf prospektus lebih lama sehingga tarikh pendaftaran prospektus, bukannya tempoh pendedahan 15 hari pasaran yang dilakukan ketika ini.
“Langkah ini akan membolehkan penyertaan masyarakat lebih meluas untuk memberikan maklum balas mengenai draf prospektus,” katanya.
Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, pendekatan yang dipertingkatkan itu bakal memberi penekanan lebih besar berhubung tanggungjawab bersama antara semua pihak yang terbabit dalam proses permohonan IPO.
“Pemohon dan semua penasihat akan memainkan peranan lebih besar untuk memastikan kajian berdaya maju yang relevan dilaksanakan dan standard tadbir urus industri dipelihara untuk membantu kecekapan dalam proses kelulusan,” katanya.
SC turut akan meneliti semula kerangka peraturan bagi pasaran ACE Bursa Malaysia dengan melakukan perbincangan mengenai potensi perpindahan seluruh kerangka pasaran tersebut.
Perubahan kerangka peraturan itu akan turut melibatkan pendaftaran prospektus ke Bursa Malaysia pada separuh pertama 2021.
“Dalam hal ini, SC akan bekerjasama erat dengan Bursa Malaysia untuk meningkatkan proses dan sumber dalamannya agar pengawal selia pasaran modal itu dapat menjalankan fungsi tambahan berkenaan,” katanya.