KUALA LUMPUR: Unjuran sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 41 peratus tahun ini disifatkan sukar direalisasikan disebabkan kesan pandemik Covid-19.
Penasihat PKS Bank Islam Malaysia Bhd., Datuk Dr. Hafsah Hashim berkata, sasaran ditetapkan kerajaan itu adalah sebelum penularan Covid-19 yang telah merencatkan pertumbuhan ekonomi negara bahkan juga secara global.
Beliau yang juga Pengerusi Pharmaniaga Bhd. berkata, sumbangan PKS itu hanya boleh dicapai sekiranya ekonomi negara turut sama berkembang pada kadar sekurang-kurangnya 4.5 peratus setahun.
“Saya bukan nak buat ramalan tetapi kalau kita lebih praktikal dan tahu ketika ini kita berdepan kekangan serta cabaran, saya rasa sasaran 41 peratus itu mungkin tidak dapat dicapai.
“Kalau tengok kepada carta pertumbuhan PKS, kita boleh lihat ekonomi berkembang secara purata sebanyak 1.2 peratus mengambil kira purata KDNK negara pada tahap 4.5 peratus.
“Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi Januari ke Jun tahun ini adalah -0.2 peratus, jadi sasaran itu sangat sukar dicapai,” katanya dalam sesi webinar PKS Pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): Bertahan dalam Perubahan Landskap anjuran Bank Islam semalam.
Sumbangan PKS terhadap KDNK disasarkan meningkat sehingga 41 peratus tahun ini selepas menyumbang RM521.7 bilion atau 38.3 peratus pada 2018 dan 37.8 peratus atau RM491.2 bilion pada 2017.
Bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof sebelum ini dilaporkan berkata, sasaran sumbangan 41 peratus mampu dicapai tahun ini disebabkan penekanan kepada eksport produk PKS tempatan yang menjadi keutamaan kerajaan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, potensi pertumbuhan PKS turut bergantung kepada beberapa faktor lain termasuk kadar buruh dan modal.
Peningkatan kadar pengangguran sehingga ke tahap 5.3 peratus, kata Mohd. Afzanizam, juga telah merencatkan pertumbuhan ekonomi PKS.
Pada masa sama, Mohd. Afzanizam berpandangan, sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan semula PKP, langkah itu dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada PKS.
“Memang sukar buat PKS (jika PKP dilaksana semulatetapi mungkin klausa berkenaan muflis untuk dimasukkan dalam Akta Covid nanti boleh mengurangkan impak kepada PKS,” katanya.