KUALA LUMPUR: Restoran Santan yang juga jenama menu dalam penerbangan AirAsia menyasarkan pembukaan 15 cawangan menjelang hujung tahun ini.
Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata, pihaknya menyasarkan lokasi strategik di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak bagi pembukaan cawangan tersebut.
Katanya, Santan turut menawarkan peluang perniagaan francais kepada pengusaha industri makanan dan minuman (F&B) dengan pakej francais yang kompetitif dan menyediakan sokongan dan latihan berterusan untuk semua pengusaha francais mulai suku keempat tahun ini.
“Buat masa ini, kami baru sahaja membuka cawangan kedua di Sunway Pyramid selepas cawangan pertama di Mid Valley pada Disember 2019,” katanya pada pelancaran pembukaan cawangan kedua Santan di sini hari ini.
Menurut beliau, pembukaan cawangan kedua tersebut juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam membantu bekas kakitangan industri penerbangan dengan latar belakang profesional dan berbeza antaranya kru kabin dan perkhidmatan pelanggan.
“Sebanyak tujuh kakitangan penerbangan termasuk kru kabin yang bekerja di cawangan Sunway Pyramid. Mereka akan dilatih semula dengan kemahiran untuk berhubung dengan pelanggan luar dan dalam talian Santan,” katanya.
Selain bekerjasama dengan rakan penghantar popular, Santan juga menawarkan perkhidmatan penghantaran sendiri dan disokong oleh platform penghantaran makanan AirAsia yang sedang berkembang iaitu Our Food dan pada masa sama memberi peluang kepada pengusaha francais untuk meningkatkan keuntungan.
Antara menu diperkenalkan termasuklah rangkaian produk beku siap dimakan seperti Nasi Lemak Pak Nasser dan Nasi Padang dengan Rendang Daging serta menu baharu yang diilhamkan dari rantau ASEAN seperti Nasi Lemak Goreng dengan Ayam Goreng Berempah, Ayam Goreng dengan sos Keju Rempah dan Gado-gado.
Santan menawarkan promosi masa terhad bagi dua Hidangan Kombo yang terdiri daripada satu makanan dan minuman setiap kombo dengan hanya RM20 dan mula dibuka esok kepada orang ramai.
“Promosi ini boleh didapati untuk menjamu selera, bawa pulang dan penghantaran di cawangan Sunway Pyramid juga boleh dipesan di santan.com.my dari 22 hingga 31 Julai ini menggunakan kod promosi Sunway,” katanya.