RM14.2 bilion dana pemudahcara lulus - Utusan Malaysia

RM14.2 bilion dana pemudahcara lulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM14.2 bilion daripada RM20 bilion melibatkan 320 projek infrastruktur telah diluluskan menerusi dana pemudahcara perkongsian awam-swasta (PPP) sejak diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perbelanjaan infrastruktur penting dalam usaha memastikan pembangunan ekonomi negara terus berkembang di samping terus berdaya saing dalam rantau ini. 

Atas dasar itu, menurut Mustapa, kaedah itu boleh direalisasikan melalui PPP yang menggabungkan inovasi sektor swasta dengan kesedaran masyarakat terhadap sektor awam. 

Beliau berkata, projek-projek dana pemudahcara yang telah diluluskan itu telah memacu pembangunan negara menerusi aktiviti ekonomi bernilai RM232.47 bilion. 

“Daripada RM20 bilion dana yang telah disediakan, sebanyak RM15 bilion bertindak bagi membantu sektor swasta membiayai projek manakala RM5 bilion lagi diperuntukkan untuk pembelian tanah. 

“Peruntukan dana ini bertujuan untuk membantu merapatkan jurang antara kemajuan dimiliki sektor swasta dalam pembangunan projek yang memberi impak strategik dengan limpahan ekonomi lebih besar. 

“Selepas ini, kerajaan akan meneliti semula kaedah ini bagi memastikannya terus memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara tetapi dilakukan dalam konteks situasi kewangan kita,” katanya dalam ucaptama Invest Malaysia 2020-Virtual Series 2 di sini hari ini. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN