KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang berinovatif, Raiz sebagai satu platform pelaburan yang mudah bagi pemegang unit untuk menyimpan dan melabur secara proaktif dalam dana-dana unit amanah.
Raiz adalah aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana harga berubah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) secara proaktif berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing.
Pemegang unit boleh memulakan perjalanan pelaburan mereka dengan memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma dan memautkan kepada kad debit Maybank.
Mereka kemudiannya boleh memberi kebenaran kepada Raiz untuk membundarkan setiap baki pembelian harian menggunakan kad dan kemudiannya membuat pelaburan dengan duit baki tersebut.
Raiz yang diperkenalkan oleh Raiz Malaysia Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn. Bhd. (JDV) dan Raiz Invest Australia Ltd. (Raiz Invest), anak syarikat Raiz Invest Limited yang disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX).
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, idea aplikasi mudah alih yang boleh melabur duit baki daripada pembelian harian secara automatik dapat memberi manfaat kepada orang ramai secara menyeluruh.
“Saya amat gembira dengan idea daripada bakat muda PNB, juga Ketua Eksekutif Raiz Malaysia Sdn. Bhd., Aidi Izham Mohd. Khalil yang mengemukakan ideanya di Cabaran Inovasi PNB yang diadakan secara tahunan.
“Idea beliau mendapat sokongan dan dorongan oleh pengalaman dan kepakaran Raiz Invest Australia, aplikasi inovatif Raiz kini tersedia untuk semua rakyat negara ini,” katanya ketika majlis pelancaran Raiz secara maya di aplikasi Youtube PNB di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, strategi keseluruhan perniagaan digital PNB bertujuan untuk menyelami dunia teknologi kewangan (fintech) menerusi JDV.
“Bagi sebuah organisasi dengan visi untuk menjadi institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia, kami teruja menjadi antara yang terawal untuk menggunakan peralatan serba canggih ini.
“Dengan penawaran nilai digitalnya, kami melihat potensi untuk Raiz menjadi pembuka laluan kepada mereka yang ingin mula melabur. Idea ini bersesuaian dengan usaha berterusan PNB dalam memperkasakan dan menggalakkan warga Malaysia untuk mengamalkan perancangan kewangan yang lebih berhemah,” katanya.