PKS masih tenat, baru mula niaga - Utusan Malaysia

PKS masih tenat, baru mula niaga

Penularan Covid-19 sukarkan sasaran 41 peratus sumbangan PKS terhadap KDNK negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dengan mengambil kira kebanyakan perniagaan yang baru sahaja bermula Jun lalu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berharap institusi perbankan dapat membantu meringankan beban mereka terutama melibatkan pembayaran faedah.

Presiden PKS, Datuk Michael Kang Hua Keong ber­kata, pihaknya memohon supaya bank melak­sanakan ­faedah secara berperingkat kepada PKS.

“Saya rasa, mereka sukar untuk membayar penuh faedah kepada bank kerana rata-ratanya baru sahaja menjalankan perniagaan selama tiga bulan. PKS boleh membayar penuh sekurang-kurangnya enam bulan.

“Tetapi, saya sarankan kepada PKS untuk memohon semula pada 7 Ogos ini dan pergi ke bank berbincang me­ngenai cara pembayaran secara berpering­kat.

“Jika bank membenarkan bayaran faedah ansuran pertama sebanyak 30 peratus bagi tiga bulan dan ­seterusnya 50 peratus kemudian bayaran penuh, ini akan membantu PKS agar tidak terbeban untuk membayarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Hua Keong, PKS perlu berjumpa dengan pihak bank dan berbincang untuk memastikan jumlah pembayaran yang perlu dibayar semula.

“PKS jangan duduk, tunggu sahaja. Perlu dapatkan khidmat bank bagi menyelesaikan dan memudahkan urusan pembayaran. Jika bank tidak layan atau tidak boleh memberi kelonggaran seperti yang saya maklumkan, PKS boleh terus menghubungi persatuan,” katanya.

Dalam pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bank-bank memberi komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau PKS bergantung kepada situasi peminjam termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan atau memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan.

Utusan Malaysia minggu lalu melaporkan 1.5 juta usahawan bakal gulung tikar jika tiada sebarang keputusan konkrit dibuat oleh kerajaan bagi ­melanjutkan moratorium.

Keadaan itu juga dibimbangi akan meningkatkan jumlah pengangguran dengan dianggarkan 1.9 juta hilang kerja menjelang hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Ketua ­Sekretariat Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abdul Majid berkata, lanjutan moratorium perlu diberikan secara menyeluruh kepada semua rakyat.

“Jika moratorium diberi menyeluruh seperti sekarang ini dan lanjutan kepada enam bulan lagi, semua pihak akan memperoleh manfaatnya ter­utama dalam menjana ekonomi negara.

“Sepanjang tempoh itu, rak­yat boleh berbelanja dan mem­bangunkan ekonomi. Moratorium selama tiga bulan ini akan menyebabkan perbelanjaan menjadi terhad seterusnya tidak dapat menjana ekonomi negara pada masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, peniaga dan penjaja yang turut terbeban disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan bekerja keras untuk membangunkan semula perniagaan ma­sing-masing dan tempoh enam bulan moratorium sebelum ini tidak mencukupi.

“Jika kerajaan mahu menyema­rakkan penjaja dan peniaga, sekurang-kurangnya moratorium perlu dilanjutkan enam bulan lagi agar semua pihak dapat manfaatnya.

“Banyak peniaga yang masih tidak dapat berniaga kerana keadaan masih tidak mengizinkan lagi dan jika berniaga buat masa ini akan memakan masa untuk kumpul modal semula,” katanya.

Jelasnya, walaupun PKS, penjaja dan individu boleh memohon lanjutan moratorium dengan bank, tetapi beliau percaya ramai yang tidak akan memperoleh manfaat daripada moratorium tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya