KUALA LUMPUR: Petron Malaysia menawarkan platform pembayaran tanpa tunai menerusi akaun e-dompet bagi penghantaran gas memasak (LPG), Petron Gasul yang selamat dan berkualiti terus ke rumah pelanggan.
Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy berkata, usaha berkenaan telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama GHL Systems Bhd. yang membolehkan penggunaan pelbagai pilihan e-dompet seperti TnG, Boost, Grabpay, Maybank QRPay, Alipay, MBSB Mcash serta UPI QRPay untuk membeli gas LPG.
Katanya, pelanggan kini boleh membuat pesanan silinder Petron Gasul melalui pengusaha LPG Petron di kawasan mereka dan memilih mana-mana aplikasi e-dompet yang tersenarai untuk membuat pembayaran.
“Kami sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan pelanggan dengan kami menerima banyak maklum balas positif terhadap pembayaran e-dompet untuk pembelian minyak serta barangan lain di stesen kami sehingga kami membuat keputusan memperluaskan perkhidmatan ini kepada pelanggan yang menggunakan Petron Gasul di rumah.
“Dalam usaha kami untuk terus berinovasi adalah keinginan kami untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik sama ada di stesen atau kediaman mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GHL Group, Danny Leong berkata, kerjasama antara syarikat itu dengan Petron terbentuk tepat pada masanya.
“Bersama Petron, kami amat teruja untuk memanfaatkan perubahan ke arah pembayaran secara digital kesan daripada pandemik Covid-19.
“Dengan rangkaian kami yang mencapai sehingga lebih 240,000 tempat pembayaran seluruh Malaysia digandingkan dengan produk Petron yang dipercayai, kerjasama ini bakal menjadi pemangkin kepada kesediaan pembayaran tanpa tunai untuk kemudahan pelanggan,” katanya.
Perkhidmatan tersebut disediakan oleh kesemua pengusaha LPG Petron yang terlibat seluruh negara.