BEIJING: Pertumbuhan ekonomi China meningkat pada suku kedua, melangkaui jangkaan penganalisis sebelum ini yang mana ia dijangka bergerak perlahan disebabkan kemungkinan berlaku kemerosotan akibat pandemik Covid-19.
Menurut Biro Statistik Nasional (NBS), pertumbuhan kasar produk domestik meningkat pada kadar 3.2 peratus bagi tempoh April hingga Jun dan menunjukkan peningkatan besar berbanding penguncupan 6.8 peratus pada suku pertama.
Jurucakap NBS, Liu Aihua berkata, ekonomi China menunjukkan momentum pertumbuhan pemulihan dan ia berkembang secara beransur-ansur namun pemulihan ekonomi negaranya masih dalam tekanan berikutan masih banyak rakan dagang yang terjejas teruk.
Meskipun, pemulihan ekonomi akan mengambil masa, jualan peruncitan juga diramalkan menyusut sebanyak 1.8 peratus pada Jun. Jangkaan itu menunjukkan kuasa beli pengguna masih tinggi walaupun China ketika ini di bawah perintah berkurung.
Data itu juga tidak membantu meningkatkan pasaran Asia kerana kedua-dua saham di Shanghai dan Hong Kong merosot lebih satu peratus dalam tempoh berkenaan.
Ahli Strategi AxiCorp, Stephen Innes berkata, terdapat keperluan yang lebih besar untuk meningkatkan penggunaan domestik kerana permintaan luaran China masih lemah namun lebih mudah untuk menormalkan penawaran daripada permintaan.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Oxford, Louis Kuijs pula memberitahu, kuasa beli isi rumah kekal berada pada kedudukan amat lemah walaupun peningkatan ekonomi China dijangka berterusan pada suku kedua.
Penganalisis agensi berita antarabangsa, Agence France-Presse (AFP) berkata, walaupun bacaan pertumbuhan ekonomi China pada kadar 1.3 peratus, namun, kadar pertumbuhan suku tahunan China, terendah direkodkan.
Data NBS juga menunjukkan ekonomi China menguncup 1.6 peratus bagi enam bulan pertama tetapi kadar pengangguran menurun kepada 5.7 peratus pada Jun berbanding 5.9 peratus pada Mei.
Pengeluaran industri meningkat kepada 4.8 peratus pada Jun sejajar dengan jangkaan berbanding 4.4 peratus pada Mei.
Ketua ekonomi bagi Greater China, Iris Pang berkata, beliau tidak bersetuju dengan data yang menyatakan pertumbuhan ekonomi China akan menjadi lebih baik kerana ia memerlukan lebih banyak data terperinci untuk mengesahkan perkara itu.
Beliau turut menegaskan bahawa China masih berdepan risiko dalam sektor perdagangan dan ketegangan teknologi dengan ekonomi utama lain terutama Amerika Syarikat serta banjir besar baru-baru ini di beberapa bahagian China boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi negara itu. – AFP