KUALA LUMPUR: Perodua Myvi kini tampil dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan warna luaran baharu menarik yang sudah boleh ditempah di semua bilik pameran Perodua seluruh negara.
Versi yang dipertingkatkan dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) pada varian 1.5AV dan 1.5H serta ditawarkan secara pilihan pada 1.3X, berharga antara RM41,000 hingga RM53,000.
Sebelum ini, sistem ASA hanya terdapat pada varian 1.5AV.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, dengan kedatangan ASA 2.0, Perodua Myvi kini membawa tahap keselamatan dalam julat harga ini kepada aras yang baharu dengan ciri tersebut juga terdapat pada lebih banyak varian.
“Untuk itu, Perodua terus membawa teknologi keselamatan canggih kepada rakyat dengan menjadikannya mampu milik,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Myvi kini boleh didapati dalam warna luaran baharu iaitu Electric Blue (untuk semua varian). Ivory White, Glittering Silver, Lava Red dan Granite Grey (kini untuk semua varian kecuali 1.3 G).