KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd. kekal komited menjalankan tugas sebagai pemaju kediaman bertanggungjawab dengan membina lebih banyak produk selaras permintaan pasaran semasa dengan fokus utama dalam segmen mampu milik walaupun berhadapan suasana pasaran yang mencabar.
Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) merangkumi pelbagai insentif kepada sektor hartanah termasuk pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC); pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan margin 70 peratus pembiayaan pinjaman perumahan ketiga membantu pemulihan pasaran hartanah.
Katanya, unjuran bagi jangka masa sederhana dan panjang kekal positif didorong permintaan asas kukuh demografi pembeli muda dan peningkatan isi rumah yang mengatasi bekalan tahunan.
Hoy Kum berkata, pasaran hartanah memberi impak berganda kepada lebih 140 industri dalam negara dan bergantung kepada penggunaan domestik.
“Dalam usaha memudahkan pembelian kediaman terutama kepada pembeli rumah pertama, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memperkenalkan lebih banyak dasar mesra hartanah seperti jangka masa pinjaman lebih lama sehingga 45 tahun.
“Penurunan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap terendah iaitu 1.75 peratus juga memudahkan pembelian rumah di samping memberi manfaat kepada sektor hartanah. Kebanyakan pembeli yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat mungkin tertarik dengan kadar faedah rendah sekali gus memutuskan membeli hartanah sekarang,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Hoy Kum, Mah Sing turut mengambil inisiatif melancarkan Kempen Mudah Dimiliki dengan kerjasama Maybank HouzKEY.
Kempen itu, kata Hoy Kum, membolehkan orang ramai membeli rumah terutama kepada pembeli rumah pertama dan mereka yang terjejas disebabkan pasaran pekerjaan yang tidak menentu atau menghadapi kesukaran dengan wang pendahuluan untuk memiliki rumah idaman.
“Mah Sing terus komited menjalankan tanggungjawab selaras dengan permintaan pasaran dalam segmen mampu milik, bahkan 84 peratus daripada sasaran jualan kami tahun ini iaitu berjumlah RM1.6 bilion daripada produk berharga bawah RM700,000.
“Kondominium mampu milik baharu kami, M Adora telah merekodkan 90 peratus ambilan semasa minggu pelancaran sekali gus membuktikan penawaran produk berkualiti pada harga mampu milik di lokasi strategik kekal berdaya tahan.
“Projek kami yang lain termasuk tiga tanah yang dibeli pada 2019 juga telah dilancarkan dengan M Luna mencatatkan lebih 90 peratus ambilan dalam tiga fasa pertama dan M Oscar pada kadar 60 peratus untuk Menara Selatan merangkumi 432 buah rumah.
“Projek lain seperti M Vertica pula merekodkan 90 peratus ambilan untuk tiga menara pertama, M Arisa (79 peratus sejak Januari) dan projek Meridin East di Johor hampir 90 peratus telah terjual,” katanya.