Tahun lalu, seorang sahabat LinkedIn menghantar pesanan ringkas kepada saya melalui platform tersebut. Beliau baru sahaja berhenti kerja kerana tidak tahan tekanan di pejabat.
Kata orang, di antara saat paling menggembirakan dalam hidup ialah apabila kita tidak lagi merasa stres kerana perlu mengheret diri sendiri ke pejabat setiap hari.
Dia perlukan bantuan saya untuk memulakan perniagaan sendiri. Hasratnya mudah, ingin membina karier baharu melalui sebuah agensi pemasaran digital dan perhubungan awam milik sendiri dan tidak mahu tersalah langkah pada saat awal. Atas sebab ini, bantuan saya ditagih.
Mengambil kesempatan ke atas kestabilan konsep perniagaan ini, saya berterus-terang kepada sahabat saya tadi, dahulu saya memulakan langkah pertama saya dengan perkara ini, iaitu pemasaran.
Saya percaya, apa gunanya kita mempunyai produk yang bagus kalau orang tidak tahu tentangnya.
Pemasaran membolehkan kebarangkalian untuk orang datang membeli lebih tinggi apabila lebih ramai orang tahu. Yang penting mereka perlu tahu siapa kita, apa kita jual, buatkan mereka yakin dengan kredibiliti dan kualiti produk kita.
Lakukan ini semua, dengan sendirinya lebih ramai yang akan datang membeli. Ketika perniagaan saya mula hendak bertapak dahulu, saya mulakan dengan membina kredibiliti profesional saya di LinkedIn. Sebelum itu, saya banyak perhatikan para peniaga kecil di Facebook, bagaimana mereka boleh mendapat jualan hampir setiap hari dengan konsisten?
Rupa-rupanya, hampir kesemua membuat promosi di akaun peribadi mereka sendiri dan bukannya di sebelah Facebook Page. Jika mereka memulakan langkah pertama dengan membuat promosi melalui Facebook Page menggunakan jenama perniagaan terlebih dahulu, pasti seorang pun tidak datang membeli kerana tidak kenal jenama perniagaan mereka.
Jadi, mereka mulakan langkah kanan melalui akaun peribadi terlebih dahulu di Facebook.
Dengan menggunakan logik sama, saya lakukan perkara sama melalui akaun LinkedIn peribadi dan membina jumlah pengikut di platform ini. Lama kelamaan, saya mula mendapat pesanan jualan terhadap perkhidmatan juruperunding secara berterusan.
Pada masa sama, saya perbetulkan juga strategi penjenamaan peribadi melalui penulisan profil yang baik.
Bukan itu sahaja, strategi pembuatan kandungan, kualiti penulisan artikel, cara membalas komen, memberi komen pada status orang lain, berinteraksi dan akhir sekali jenama perniagaan saya di sebelah LinkedIn Page juga diperbaiki agar nampak lebih profesional.
Berdasarkan pengalaman ini, saya menasihati sahabat LinkedIn saya tadi;
“Guna LinkedIn, ia platform yang sesuai untuk anda. Bukan sahaja hampir kesemua eksekutif profesional dan ahli korporat serta pemilik perniagaan ‘melepak’ secara digital di sini, mereka juga sangat baik dan mudah didekati secara profesional. Mereka ini adalah bakal pelanggan anda sekiranya strategi pemasaran yang betul digunakan.”
Ini cerita tahun lalu. Kini, zaman ‘susah’ sudah berlalu pergi. Perniagaan sahabat saya ini pun sudah mendapat tempat di hati para pelanggannya.
Pemasaran jenama peribadi dan perniagaan sangat penting tidak kira sama ada waktu susah mahupun senang. Tanpa pemasaran, tidak akan ada lagi kemajuan.