KUALA LUMPUR: Walaupun penularan wabak Covid-19 telah mengakibatkan impak negatif kepada ekonomi negara, namun pandemik itu dilihat memberi peluang kepada proses reformasi sistem.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan cuba menangani tiga isu penting dalam pelan pemulihan ekonomi jangka panjang yang akan dibentangkan Oktober ini.
Menurut Mustapa, tiga isu berkenaan adalah melibatkan kerenah birokrasi dan pengawalseliaan, ketidakpadanan bekalan dan permintaan buruh serta penggunaan teknologi rendah terutama oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Mustapa berkata, sebagai contoh berdasarkan laporan Bank Dunia, perniagaan di Malaysia memerlukan 17 hari menyelesaikan prosedur berkaitan perniagaan berbanding hanya 1.5 hari di Singapura dan Hong Kong serta lapan hari di Korea Selatan.
“Ketidakpadanan bekalan dan permintaan buruh termasuk pengangguran belia dan siswazah, peratusan tenaga kerja mahir yang rendah dan kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing berkemahiran rendah telah menyekat kemampuan Malaysia bersaing secara cekap.
“Pada 2019, pekerja bukan warganegara merangkumi 32 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja dalam sektor agrikultur, kira-kira 23 peratus dalam sektor pembinaan, 22 peratus dalam sektor pembuatan dan 10 peratus dalam sektor perkhidmatan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam persidangan maya dan Mesyuarat Peringkat Tertinggi Perbankan dan Kewangan Malaysia 2020 oleh Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik, semalam.
Mustapa berkata, negara perlu berusaha untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai satu daripada kuasa ekonomi paling kompetitif di ASEAN selepas Singapura.
“Covid-19 telah menyediakan peluang untuk kita mengubah beberapa isu penstrukturan dalam ekonomi dan melaksanakan perubahan serta reformasi lebih radikal,” katanya.