KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan 60,000 pendaftaran menerusi platform pelaburan terbaharunya, Raiz menjelang hujung tahun ini.
Ini berikutan jumlah muat turun aplikasi telah mencapai 15,000 pendaftaran sejak diperkenalkan 1 Jun lalu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, platform itu adalah cara terbaik bagi pengguna untuk memanfaatkan setiap sen yang dibelanjakan manakala selebihnya dapat disimpan dan dilaburkan.
“Aplikasi ini terbuka kepada semua rakyat negara ini yang mendaftar memuat turun aplikasi ini. Dengan serendah RM5 dalam akaun, pengguna akan dapat melabur dalam portfolio yang dicadangkan,” katanya ketika majlis pelancaran Raiz secara maya di aplikasi Youtube PNB di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz dan Presiden dan Ketua Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.
Raiz adalah aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana harga berubah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) secara proaktif berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing.
Pemegang unit boleh memulakan perjalanan pelaburan mereka dengan memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma dan memautkan kepada kad debit Maybank.
Mereka kemudiannya boleh memberi kebenaran kepada Raiz untuk membundarkan setiap baki pembelian harian menggunakan kad dan kemudian membuat pelaburan dengan duit baki tersebut.
Raiz yang diperkenalkan oleh Raiz Malaysia Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn. Bhd. (JDV) dan Raiz Invest Australia Ltd. (Raiz Invest), anak syarikat Raiz Invest Limited yang disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX).
Zeti berkata, idea aplikasi mudah alih yang boleh melabur duit baki daripada pembelian harian secara automatik dapat memberi manfaat kepada orang ramai secara menyeluruh.