KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada moratorium dilanjutkan atau tidak selepas September ini masih berlegar-legar di fikiran rakyat yang sangat berharap kerajaan melakukan sesuatu bagi membantu mereka daripada terperangkap dalam kemelut hutang yang tinggi.
Bagi penganalisis ekonomi, adalah lebih wajar sekiranya langkah itu dapat dilanjutkan hingga suku pertama tahun hadapan dengan mengambil kira situasi ekonomi yang masih mencabar serta kebimbangan berlaku gelombang kedua Covid-19.
Kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pertanyaan menteri Sidang Parlimen semalam bahawa beberapa jenis pendekatan termasuk memanjangkan tempoh bayaran atau mengubah terma dan syarat sekali gus mengurangkan kadar faedah bagi menggantikan moratorium bagaimanapun tidak dipersetujui penganalisis ekonomi.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, moratorium masih menjadi kaedah terbaik untuk memberi keselesaan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik tersebut.
Katanya, lanjutan moratorium sememangnya perlu dilakukan untuk tempoh enam bulan akan datang iaitu sehingga suku pertama 2021, namun secara bersasar kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Walaupun kumpulan isi rumah telah dibahagikan kepada 10 kategori berdasarkan kepada Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah dan Keperluan Asas 2019, namun Baharom berpendapat golongan B40 masih perlu diberi lanjutan moratorium.
“Berbanding beberapa kaedah lain, saya merasakan lanjutan moratorium bukan sahaja memberi situasi menang-menang kepada institusi kewangan dan rakyat, tetapi juga akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi.
“Kaedah lain termasuk menstruktur semula pinjaman dan mengurangkan kadar faedah bukan sesuatu yang luar biasa, malah sering dilakukan sebelum ini.
“Selain B40, golongan berpendapatan sederhana (M40) harus diberi peluang cuma perlu memohon dan memberi alasan kukuh.
“Pada masa sama, jika moratorium tidak dilanjutkan, bank akan lebih tertekan kerana nilai nisbah pinjaman tidak berbayar akan bertambah sekali gus tetap merugikan bank,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Walaupun Baharom mengakui lanjutan moratorium akan memberi kesan kepada pulangan bank tahun ini tetapi beliau menganggap bank masih berkemampuan.
“Pulangan bank tahun ini mungkin akan berkurangan tetapi akan bertambah pada tahun akan datang.
“Jika dilanjutkan sekali pun, saya yakin dapat mengukuhkan kedudukan ekonomi bank pada masa hadapan kerana rakyat lebih berkeupayaan membayar kembali hutang dengan lebih baik,” katanya.
Penghujung Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).
Menurut Kementerian Kewangan, setakat 13 Julai 2020, moratorium bayaran balik pinjaman oleh institusi kewangan berjumlah RM55.2 bilion.
Menurut Penganalisis Ekonomi DM-Analytic Sdn. Bhd., Zouhair Rosli, segala bentuk bantuan perlu diteruskan sehingga Disember ini seperti diamalkan di negara-negara lain.
Jelasnya, segala pemulihan hanya dapat dilihat tahun hadapan dengan kebanyakan analisis ekonomi membayangkan tahun ini bakal menjadi ‘detik hitam’ kepada kedudukan ekonomi.
“Sekiranya kerajaan memutuskan untuk melanjutkan moratorium tetapi secara bersasar, perkara itu juga perlu diperhalusi dengan mendalam supaya hanya individu atau perniagaan yang layak sahaja menerimanya, bukan disasarkan kepada keseluruhan kategori,” katanya.
Bagaimanapun, Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid awal bulan ini menegaskan bank pusat itu tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh enam bulan moratorium bagi mengelakkan kesan yang perlu ditanggung pihak bank.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias memberitahu bank berkenaan menjangkakan kesan penangguhan bayaran balik pinjaman membabitkan nilai sekitar RM1 bilion hanya akan dapat dilihat pada suku kedua tahun ini.
Beberapa bank antaranya, Bank Islam Malaysia Bhd., Bank Simpanan Nasional, Affin Bank Bhd., CIMB Bank Bhd., United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Ambank sedang mengkaji bantuan bersesuaian kepada pelanggan selaras tempoh moratorium yang dijadualkan tamat akhir September ini.
Penganalisis Kanan MIDF Research, Imran Yassin Md. Yusof berkata, nisbah pinjaman tidak berbayar dijangka meningkat selepas moratorium ini ditamatkan.
“Tempoh enam bulan moratorium pinjaman ketika ini dilihat mencukupi untuk menyusun dan menjadualkan semula pinjaman-pinjaman yang mungkin menghadapi masalah aliran kewangan di samping mengambil kira aliran kewangan bank-bank.
“Jika tiada pembayaran pinjaman semula akan menjejaskan kemampuan memberi pinjaman oleh pihak bank dan juga keuntungan mereka. Ini juga mungkin akan memberi tekanan kepada operasi bank-bank,” katanya.