KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service sedang menilai semula kemampuan kerajaan memberi sokongan dalam menyediakan dana awam bagi menyokong institusi kewangan tertentu.
Agensi antarabangsa itu berkata, ia berikutan kegagalan bank yang berlaku dalam semua pasaran di bawah mereka di rantau Asia Pasifik (APAC), kecuali di Singapura.
“Oleh demikian, kami tidak menganggap semua bank yang bermasalah akan mendapat bantuan secara automatik daripada kerajaan untuk mengelakkan kegagalan atau penutupan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah Moody’s, pihaknya menyifatkan penilaian mereka menggabungkan evolusi yang berpotensi dalam sokongan kerajaan kerana pengawal selia memperoleh lebih banyak kuasa dalam menangani institusi kewangan yang bermasalah ketika perubahan politik telah menyebabkan kegagalan institusi tersebut dan kerugian kredit pemiutang.
“Ini mewujudkan lagi kemungkinan bahawa pihak berkuasa di rantau APAC ini akan menyelesaikan masalah institusi kewangan dengan cara berbeza berbanding krisis sebelumnya yang membenarkan sokongan daripada kerajaan,” katanya.
Jelas firma itu, bank-bank yang bermasalah seperti Sime Bank dan Bank Bumiputra serta syarikat kewangan di Malaysia digabungkan menjadi kumpulan perbankan beberapa tahun selepas mengalami krisis kewangan Asia.
Moody’s berkata, pihak berkuasa APAC bergerak terlalu perlahan dalam menyelesaikan masalah institusi kewangan.
Pembaharuan ini tidak terhad kepada bank-bank tetapi lebih tertumpu kepada institusi tersebut.
“Malah untuk bank, hanya kemajuan yang sederhana dicatatkan sejak November 2017 ketika kami menerbitkan laporan mengenai pembaharuan resolusi bank-bank APAC.
“Langkah ini belum menunjukkan adanya perubahan besar dalam pendekatan resolusi atau kemungkinan sokongan kerajaan terhadap bank-bank pemiutang,” katanya.
Sebahagian besar pihak berkuasa APAC masih kekurangan kuasa perundangan untuk memberi jaminan atau menyelamatkan pemiutang walaupun pihaknya boleh berbuat demikian dengan menggunakan kuasa untuk memindahkan aset dan liabiliti tertentu.
Penyediaan mekanisme yang efektif dan fleksibel dalam mencapai pembahagian beban dengan jumlah pelabur yang lebih besar dapat mengurangkan penggunaan dana awam sekiranya tiada rejim menyelamat rasmi dilaksanakan.
“Banyak pihak pengawal selia menyatakan hasrat untuk mengurangkan kesan moral yang membabitkan usaha menyelamat secara menyeluruh.
“Namun mereka juga menghadapi risiko bebanan yang menyebabkan gangguan pasaran dan perniagaan di bank lain secara berlanjutan,” katanya.