KUALA LUMPUR: Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang melaksanakan pakej sokongan ekonomi yang luar biasa selain daripada Thailand, mengikut laporan Global Economic Prospects June 2020 oleh Kumpulan Bank Dunia (WBG).
Pakej sokongan ekonomi negara yang dilaksanakan itu memberi fokus kepada kesejahteraan dan kesihatan awam, penyediaan penjagaan, jaminan pinjaman serta insentif perniagaan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata dalam laporan itu, Malaysia dan Thailand telah melaksanakan pakej sokongan ekonomi luar biasa yang menyamai masing-masing sekitar 17 dan 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Berdasarkan pencapaian setakat ini, respons melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) terhadap krisis ini adalah tepat dan bersesuaian.
“Perkembangan positif ini juga disokong oleh kerancakan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan yang beransur pulih dan meningkat dalam bulan-bulan yang akan datang.
“Salah satu bukti pemulihan ekonomi ialah laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi jualan perdagangan borong dan runcit bagi Mei pada tahap RM84.4 bilion.
“Ini merupakan peningkatan sebanyak RM17.5 bilion atau 26.3 peratus berbanding April lalu,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-14 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi hari ini.
Tengku Zafrul berkata, pihaknya juga sudah menjangkakan kadar pengangguran akan meningkat sebanyak 5.3 peratus pada Mei berbanding lima peratus bagi April.
“Apa yang lebih penting adalah sama ada langkah-langkah pembukaan ekonomi dan pengekalan pekerjaan mempunyai impak positif ke atas kadar pekerja yang kembali bekerja.
“Ini terbukti melalui data DOSM yang menunjukkan bahawa sehingga 2 Jun, lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei lalu,” katanya.
Jelas beliau, berdasarkan jangkaan pelbagai agensi, seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), lebih 150 negara di seluruh dunia dijangka merekodkan penguncupan ekonomi pada tahun ini termasuk Malaysia.
“Apa yang lebih penting adalah kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam memastikan impak Covid-19 kepada ekonomi dapat ditangani dengan baik supaya ekonomi kita mampu berkembang semula dengan segera sejajar dengan pemulihan ekonomi serantau dan global,” katanya.
Tambah Tengku Zafrul, negara perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berikutan ia akan menjadi bertambah buruk sebelum menjadi lebih baik.
“Ini kerana sebagai ekonomi terbuka, pemulihan ekonomi negara bergantung kepada pemulihan ekonomi global. Salah satu usaha yang dapat kita lakukan adalah mencari lebih awal pertolongan untuk membayar obligasi kewangan kita. Kita memerlukan lebih banyak masa untuk mengatur kembali kewangan pada tahap yang lebih kukuh.
“Bantuan boleh didapati dari institusi kewangan, atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk individu; Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SDRS) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Syarikat Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) bagi syarikat yang lebih besar,” katanya.