KUALA LUMPUR: Sharp Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. memperkenalkan konsep Remote Life iaitu sebuah ekosistem penyelesaian seiring dengan keperluan masa kini dalam menghadapi normal baharu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bagi ASEAN, Robert Wu berkata, syarikat itu melihat peluang besar untuk membantu proses pemulihan negara melalui penyelesaian teknologi yang dimiliki Sharp.
Katanya, seiring dengan keperluan terkini, Sharp bertekad membantu pengguna tidak kira dalam perniagaan, bilik darjah atau isi rumah menyesuaikan diri dengan suasana ketika ini.
Beliau berkata, konsep Remote Life baharu itu menjadi tarikan utama konvensyen maya dengan memberi tumpuan kepada kelancaran komunikasi dan keselamatan pengguna.
“Beberapa bulan kebelakangan ini, seluruh dunia didorong mempertingkatkan penggunaan penyelesaian digital lebih pantas berbanding sebelumnya.
“Mengambil kira kepentingan komunikasi dan keselamatan pengguna dalam normal baharu, pengenalan konsep Remote Life Sharp ini tepat pada masanya bagi mewujudkan pejabat dan bilik darjah lebih pintar serta saling terhubung,” katanya dalam kenyataan semalam.
Syarikat gergasi elektronik itu turut berkongsi rancangannya untuk memperkukuhkan kedudukan jenama dan mengembangkan pasaran menerusi strategi perniagaannya yang dinamik.
Sharp kekal antara jenama teratas dalam kalangan pilihan pengguna menurut kaji selidik pasaran global.
Analisis tinjauan pasaran mendapati untuk tempoh Jun 2019 hingga Mei 2020, Sharp mendominasi kedudukan nombor satu dalam segmen produk peti sejuk dan mesin basuh berbanding pesaingnya dengan menguasai kira-kira 20 peratus pasaran Malaysia.
Robert berkata, konsep Remote Life itu juga merangkumi tiga penyelesaian untuk tiga bidang utama iaitu Remote Meeting atau mesyuarat secara maya untuk perniagaan, Remote Education System atau sistem pendidikan secara maya dan Remote Lifestyle atau gaya hidup secara maya agar pengguna mampu terus berurusan dengan berkesan serta selamat.
Dalam usaha menyokong pemulihan perniagaan dalam rangkaian pengedar, Sharp juga mengambil kesempatan untuk memperkenalkan platform e-dagang baharu, eSHARP, di konvensyen mayanya.
Membezakan dirinya agar menerajui pasaran, Sharp mengembangkan eSHARP khususnya bagi mendorong hasil kembali kepada pengedar.
“Dalam persoalan keselamatan dan kesihatan, kami memahami para pelanggan inginkan saluran yang lebih baik untuk mendapatkan produk Sharp kegemaran mereka.
“Platform eSHARP kami mewakili konsep perniagaan runcit ‘aras kedua’ yang membolehkan para pelanggan membuat pembelian secara mudah. Pada masa sama, ia mengukuhkan kedudukan rangkaian pengedar sah kami serta menyokong perniagaan mereka.
“Proses pembelian pelanggan dijamin selamat tanpa ragu-ragu mengenai ketulenan produk Sharp dari pengedar sah kami. Strategi perniagaan baru ini akan membantu pengedar kami memperolehi pendapatan dalam talian dan meningkatkan interaksi bersama pelanggan,” katanya.