KUALA LUMPUR: Penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia bukan sahaja melumpuhkan pertumbuhan ekonomi, malah menekan kebajikan rakyat.
Ini menjadi satu kebimbangan ketara apatah lagi jumlah pengangguran dijangka meningkat sehingga penghujung tahun dengan ekonomi diunjurkan pulih secara perlahan.
Laporan Kajian Khas Kesan Covid-19 terhadap Individu dan Ekonomi (Pusingan Pertama) yang dijalankan Jabatan Perangkaan, Mac lalu mendapati lebih dua pertiga atau 71.4 peratus responden bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi kurang daripada sebulan sahaja.
Perkara itu diburukkan lagi apabila 77.2 peratus majikan dan 82.7 peratus pekerja swasta pula mempunyai simpanan kewangan mencukupi sehingga dua bulan manakala 78.9 peratus pekerja syarikat milik kerajaan (GLC) serta 75.2 peratus pekerja syarikat multinasional (MNC) mempunyai simpanan kewangan sehingga empat bulan.
Menurut Pakar Kewangan Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, kedudukan kewangan rakyat akan berada pada tahap kritikal sekiranya gelombang kedua Covid-19 melanda negara.
Katanya, walaupun semakin ramai sudah mula mempunyai kesedaran untuk menyimpan tetapi simpanan itu dilihat tidak mencukupi menghadapi tempoh kecemasan.
“Berdasarkan kajian pakar, setiap orang perlu mempunyai simpanan berjumlah tiga hingga enam bulan gaji untuk digunakan sewaktu tempoh kecemasan tetapi kebanyakan daripada kita ketika ini lebih menumpukan kepada keperluan semasa tanpa ada simpanan.
“Ramai yang sudah mula sedar kepentingan simpanan, kalau ikut kajian kira-kira 60 peratus rakyat sudah mempunyai simpanan tetapi akan digunakan dalam masa terdekat, bukannya disimpan untuk menghadapi tempoh kecemasan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap tempoh sukar disebabkan penularan Covid-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diambil sebagai hikmah dan mula membuat simpanan sekiranya sekali lagi terpaksa berhadapan kecemasan.
“Sekarang ini kita boleh lihat kedudukan ekonomi telah mula pulih secara perlahan tetapi perkara itu boleh berubah jika berlakunya gelombang kedua. Kita perlu sentiasa berwaspada dan mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya tidak berlaku,” katanya.
Sementara itu, Penyelidik Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata, jika kerajaan ingin membantu mereka yang terkesan kerana krisis ini, kerajaan perlu membuat suntikan fiskal secara terus kepada golongan-golongan yang terkesan berbanding menggunakan kaedah yang memaksa mereka menggunakan simpanan masa depan mereka sendiri.
Katanya, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan penyelesaian terbaik namun hanya kelegaan sementara yang mana pencarum boleh mempunyai lebihan wang tunai sebanyak empat peratus.
“Tetapi perkara ini tidaklah menyelesaikan masalah jika pencarum itu sendiri telah kehilangan pekerjaan sejak PKP. Untuk kesan jangka panjang, jumlah keseluruhan caruman yang dibuat akan lebih rendah sekali gus mendatangkan kesan buruk terhadap keadaan pencarum selepas bersara,” katanya.