KUALA LUMPUR: Kenaikan kadar kemiskinan daripada 0.4 kepada 5.6 peratus dan peningkatan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 tidak bermakna rakyat Malaysia semakin miskin tetapi lebih kepada meningkatkan standard penerimaan minimum.
Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Kenneth Simler berpendapat langkah kerajaan meningkatkan PGK yang tidak pernah disemak sejak 2005 adalah tindakan tepat dan wajar dipuji.
Pada masa sama, menurut Simler, kerajaan perlu bertindak sewajarnya bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mencapai sara hidup minimum baharu ini bersesuaian dengan landskap negara ketika ini.
Implikasi besar peningkatan PGK kepada polisi awam, kata Simler, adalah mengakui kewujudan miskin tegar dalam kalangan rakyat walaupun banyak pandangan sebelum ini mengatakan sebaliknya.
“Polisi membasmi kemiskinan dan berkongsi kesejahteraan dapat dimanfaatkan dengan mengambil kira beberapa perkara yang termasuk dalam metodologi garis kemiskinan.
“Semasa pengiraan mengenai kadar kemiskinan 5.6 peratus, Jabatan Perangkaan tidak membandingkan setiap pendapatan isi rumah kepada RM2,208. Itu cuma purata tetapi setiap PGK dikira mengikut jumlah penduduk dan kos barangan asas serta perkhidmatan di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Walaupun kadar PGK telah ditingkatkan, namun Simler berpandangan paras gaji minimum tidak perlu disemak semula.
Menurutnya, kadar RM2,208 itu hanyalah asas kepada purata kebanyakan isi rumah iaitu empat orang bagi setiap isi rumah di Malaysia.
“Tidak semua pekerja mendapat gaji minimum adalah satu-satunya yang bekerja untuk keluarga. Kemungkinan isi rumah mereka juga kecil atau terdapat beberapa orang yang mencari rezeki.
“Jika mereka adalah satu-satunya yang bekerja, mereka perlukan lebih lagi berbanding hanya gaji minimum termasuk latihan, proses upskilling dan akses lebih baik ke pekerjaan bergaji tinggi,” jelas beliau.