Permohonan pembiayaan kediaman semakin meningkat
KUALA LUMPUR: Di sebalik pemberian moratorium yang dilaksanakan kerajaan April lalu bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat Covid-19, data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan permohonan pembiayaan semakin meningkat pada Jun berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Pada April tahun ini, permohonan pinjaman perumahan hanya berjumlah RM6.67 bilion, menyusut 72.1 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya, RM23.88 bilion susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Bagaimanapun, dari keseluruhan jumlah pembiayaan itu pada April, bank hanya meluluskan RM2.5 bilion sahaja pinjaman perumahan, susut 75.68 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, RM10.26 bilion.
Dalam bulan itu juga, negara merekodkan peningkatan kadar pengangguran sehingga lima peratus, tertinggi sejak 30 tahun lalu.
Namun, data terbaharu yang dikeluarkan BNM untuk semalam menunjukkan permohonan bagi pembiayaan rumah meningkat hampir 20 peratus kepada RM25.43 bilion pada Jun berbanding RM21.19 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Kelulusan bagi pembiayaan rumah untuk Jun tahun ini, bagaimanapun susut 35.12 peratus kepada RM6.25 bilion berbanding RM9.64 bilion untuk tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini mencerminkan harga rumah di Malaysia yang ditawarkan tidak mampu milik iaitu tidak sejajar dengan pendapatan isi rumah yang mana kiraan gandaan median kemampuan memiliki rumah pada 2019 adalah 4.1 iaitu kategori sangat tidak mampu milik.
Malah, nisbah pembinaan rumah mewah kepada bilangan isi rumah berpendapatan tinggi jelas menunjukkan pembinaan lebih banyak rumah premium berbanding rumah mampu milik.
Menurut Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Suraya Ismail awal minggu ini, harga rumah median pada 2019 adalah RM289,646 manakala pendapatan tahunan isi rumah adalah RM70,476.
Bagaimanapun situasi berbeza bagi permohonan pembiayaan pembelian kenderaan penumpang yang meningkat 66.08 peratus kepada RM7.63 bilion pada Jun berbanding RM4.6 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya. Kelulusan pembelian turut meningkat 29.46 peratus kepada RM3.83 bilion berbanding RM2.96 bilion untuk tempoh berkenaan.
Untuk permohonan kad kredit pula ia mencatat penurunan sebanyak 18.8 peratus tahun ke tahun dari RM2.87 bilion pada Jun tahun lalu kepada RM2.33 bilion bagi tempoh sama. Kelulusan bagi permohonan ini menurun 51.31 peratus kepada RM648.3 juta berbanding RM1.33 bilion.
Tahun 2020 menyaksikan tahun yang amat mencabar kepada persekitaran ekonomi disebabkan penularan Covid-19 yang mula dikesan di Wuhan, China hujung tahun lalu yang mengorbankan lebih 600,000 nyawa di seluruh dunia setakat ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengambil keputusan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar yang akan memberi manfaat kepada hampir tiga juta individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dalam Sorotan dan Perangkaan Jun 2020 yang dikeluarkan BNM semalam menunjukkan jumlah pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 4.1 peratus pada Jun berbanding 3.9 peratus pada Mei disokong oleh pinjaman isi rumah terkumpul yang lebih tinggi.
Pertumbuhan bon korporat terkumpul juga meningkat kepada 2.5 peratus (Mei, 1.9 peratus), manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah yang lebih tinggi pada Jun, 3.5 peratus (Mei, 3.2 peratus) disumbangkan terutama oleh pinjaman perumahan dan sekuriti dalam keadaan pengeluaran yang lebih tinggi.
Untuk pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul pula menjadi sederhana kepada 4.2 peratus berbanding Mei, 4.5 peratus berikutan pembayaran balik berkembang pada kadar yang lebih pantas berbanding dengan pengeluaran.
Menurut BNM, pengeluaran telah kembali ke paras wajar daripada paras yang rendah pada April and Mei, dengan pengeluaran yang tinggi untuk keperluan modal kerja.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, laporan terkini BNM menunjukkan beberapa tanda pemulihan ekonomi yang berlaku pada Jun dan pastinya memberi khabar gembira kepada isi rumah dan perniagaan.
“Kesemua ini melambangkan keyakinan isi rumah dan perniagaan yang semakin pulih dan kerancakan ekonomi yang mula menuju ke tahap sebelum pandemik Covid-19 bermula,”katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam laporan itu juga, BNM berkata, risiko deflasi kekal terkawal manakala inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras, meningkat sedikit kepada 1.2 peratus berbanding Mei, 1.1 peratus.