KUALA LUMPUR: Kaunter sarung tangan getah dijangka terus menjadi pilihan pelabur pasaran modal ekoran penularan wabak Covid-19 yang masih belum menemui vaksin.
Pada masa sama, kebimbangan dunia berlakunya gelombang kedua penularan turut mendorong peningkatan dagangan saham sarung tangan getah sehingga mencatat rekod baharu volum dagangan pada kadar 12.5 bilion unit bernilai RM6.6 bilion, kelmarin.
Menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim, peningkatan volum dagangan yang mendadak sejak kebelakangan ini dipacu oleh sentimen positif terhadap pengeluar sarung tangan getah seperti Top Glove Corporation Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. berikutan peningkatan jumlah kes wabak itu seluruh dunia.
Adam berkata, sumbangan saham syarikat sektor itu dalam indeks FBM KLCI adalah tinggi dengan pemodalan pasaran bagi kedua-dua saham membabitkan Top Glove dan Hartalega juga tertinggi dalam kalangan 30 saham tersenarai dalam indeks penanda aras negara itu.
“Sebarang peningkatan dalam aktiviti dagangan saham-saham ini akan menggerakkan FBM KLCI terutama ancaman gelombang kedua. Oleh itu, ia agak kurang seimbang disebabkan tumpuan terhadap kaunter-kaunter berkaitan sarung tangan getah.
“Selain itu, kaunter berkaitan teknologi juga dilihat bakal menjadi pilihan pelabur berikutan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat atas sebab kebiasaan baharu untuk bekerja dari rumah.
“Sekiranya Covid-19 ini dapat dipulihkan melalui penemuan vaksin dan sebagainya, saham-saham berkaitan sektor pelancongan seperti AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) pula akan menjadi fokus,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Volum dagangan saham di Bursa Malaysia kelmarin merekodkan nilai tertinggi apabila sebanyak 12.5 bilion unit saham bernilai RM6.6 bilion didagangkan sebelum ditutup.
Adam turut menjangkakan penyertaan pelabur runcit bakal meningkat susulan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini yang mana pelabur runcit dilihat cenderung melabur dalam pasaran ekuiti bagi memperolehi pulangan lebih tinggi.
“Berdasarkan data sedia ada, penyertaan pelabur runcit Jun lalu telah pun meningkat kepada 37 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti negara daripada sekitar 15 hingga 25 peratus sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
Adam juga berpendapat kebanyakan perniagaan mungkin akan lebih berhati-hati bagi menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) dalam suasana pasaran dan ekonomi yang begitu meruap.