Jumlah penumpang AirAsia diunjur naik 35% - Utusan Malaysia

Jumlah penumpang AirAsia diunjur naik 35%

Proses pemulihan industri penerbangan itu bagaimanapun akan dibayangi ketidaktentuan ekonomi. - GAMBAR ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah penumpang syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Group Bhd. dijangka meningkat sehingga 35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada kemerosotan 50 peratus dalam tahun kewangan 2020. 

Menurut AmInvestment Bank Bhd., sektor penerbangan global sedang mula pulih susulan penyusutan jumlah penumpang yang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan antarabangsa. 

Kata firma penyelidikan itu, proses pemulihan industri penerbangan itu bagaimanapun akan dibayangi ketidaktentuan ekonomi disebabkan masih ada negara melaksanakan polisi kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19. 

“Kami difahamkan syarikat penerbangan bergelut untuk merancang jadual penerbangan kerana ketika ini secara purata penumpang membeli tiket pada hari atau tiga hari sebelum berlepas berbanding 20 hari atau lebih lama lagi sebelum ini. 

“Keperluan mendesak syarikat penerbangan untuk menstabilkan semula penyata kira-kira disebabkan kerugian besar yang ditanggung juga memburukkan lagi keadaan,” katanya. 

Industri penerbangan negara dijangka mengalami kerugian sehingga RM13 bilion tahun ini selepas penurunan kadar perjalanan udara disebabkan impak pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan antarabangsa yang masih dilaksanakan ketika ini. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong kelmarin berkata, kerugian tersebut merangkumi kerugian bernilai RM10.9 bilion dialami tiga syarikat penerbangan utama negara iaitu Malaysia Airlines Bhd., AirAsia Group Bhd. dan Malindo Airways Sdn. Bhd. 

Operator lapangan terbang pula merekodkan kerugian RM2.1 bilion tahun ini membabitkan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) yang menguruskan 39 lapangan terbang manakala Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN