Industri penerbangan diunjur rugi RM13 bilion - Utusan Malaysia

Industri penerbangan diunjur rugi RM13 bilion

Industri penerbangan me­ngalami kemerosotan teruk akibat pandemik Covid-19. - GAMBAR ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri pe­nerbangan negara dijangka me­ngalami kerugian sehingga RM13 bilion tahun ini selepas penurunan kadar perjalanan udara disebabkan impak pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan antarabangsa yang masih dilaksanakan ketika ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerugian tersebut merangkumi kerugian bernilai RM10.9 bilion yang dialami tiga syarikat penerba­ngan utama negara iaitu Malaysia Airlines Bhd., AirAsia Group Bhd. dan Malindo Airways Sdn. Bhd.

“Operator lapangan terbang pula merekodkan kerugian RM2.1 bilion tahun ini membabitkan Malaysia Airports Hol­dings Bhd. (MAHB) yang me­nguruskan 39 lapangan terbang manakala Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. me­nguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor,” katanya di Parlimen semalam seperti dilaporkan Theedge.

Industri penerbangan me­ngalami kemerosotan teruk selepas pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan disebabkan pandemik Covid-19.

Sebelum itu, Ka Siong berkata, tiga syarikat penerbangan negara itu telah membatalkan sebanyak 169,728 penerbangan melibatkan kira-kira 4.3 juta penum­pang selepas pelaksa­naan sekatan perjalanan.

Sebanyak 1.21 juta penum­pang merangkumi 1.17 juta penumpang Malaysia Airlines dan 38,558 penumpang AirAsia telah menunda penerbangan masing-masing.

“Sejumlah 1.97 juta penum­pang pula memilih kredit pe­nerbangan berbanding rebat tunai. Daripada jumlah itu, 37,188 penumpang Malaysia Airlines, 1.88 juta adalah penumpang AirAsia dan baki 54,773 adalah penum­pang Malindo Airways,” katanya.

Menurut Ka Siong, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) turut menjangkakan harga penerbangan bagi laluan domestik akan mula menurun sama seperti harga pada 2019 menjelang November tahun ini.

“Kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan penga­wal selia dan pemegang taruh industri untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mengekalkan harga tiket penerbangan berpatutan yang meningkat lebih dua kali ganda dalam beberapa bulan lalu disebabkan faktor muatan rendah,” jelas beliau.

Sementara itu. Reuters me­laporkan, syarikat penerbangan tambang murah Asia Tenggara yang menjadi pemangkin pertumbuhan utama industri itu me­ngalami kemerosotan kewangan teruk

sekali gus menimbulkan persoalan sama ada syarikat ber­kenaan kembali berkembang.

Menurut laporan itu, auditor AirAsia dan VietJet Aviation dari Vietnam menyuarakan kebimbangan berhubung aliran tunai dan dana yang dihadapi syarikat berkenaan manakala Lion Air dari Indonesia telah menghentikan pelan pembelian.

“Sebelum kehadiran pandemik pun, institusi kewangan dan syarikat sewaan penerba­ngan telah menyampaikan kerisauan sama ada kapal terbang yang ditempah akan dapat dihantar,” jelas laporan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya