Impikan kilang kayu 'IKEA' - Utusan Malaysia

Impikan kilang kayu ‘IKEA’

Mohamad Hafiz Johari (tengah) bersama rakan-rakan yang mengusahakan Kawood sejak tiga bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSPIRASI NIAGA

 

Syarikat pertukangan kayu jenis pinewood, Kawood yang baru tiga bulan beroperasi menjadikan peruncit terkenal bagi produk perabot dan rumah Sweden, IKEA sebagai sumber inspirasi dalam merangka masa depan perniagaannya.

Memulakan perniagaan ‘zero’ modal dengan hanya berbekalkan pinjaman daripada orang terdekat dan menggunakan peralatan sedia ada, siapa sangka sentuhan magis mereka mendapat sambutan luar biasa.

Pengasasnya, Mohamad Hafiz Johari, 35, berkata, beliau bercita-cita tinggi untuk memiliki sebuah kilang pembuatan, pusat ­pameran dan produk kayu tersendiri serta pekerja per­tukangan di seluruh negara.

“Kami jangkakan sekurang-kurangnya selepas enam bulan hingga setahun bagi melepasi tempoh matang untuk perluaskan perniagaan Kawood selain memohon bantuan perniagaan seperti pinjaman dan geran.

“Terlalu awal untuk meletakkan harapan namun tidak salah jika kita memasang impian yang tinggi. Sejak tercetusnya idea untuk memulakan perniagaan ini, saya sudah terfikir untuk mempunyai gedung perabot seperti IKEA suatu hari nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bermula dengan Ara Planter Shelf yang dijual pada harga RM139, Kawood kini mem­punyai empat lagi jenis rak kayu iaitu Ara Planter Shelf 2 (RM169), Hirta Shelf (RM159), Meca Shelf (RM59) dan dua kotak Lowi Box (RM60) dijual melalui dalam talian sejak memulakan operasi, 29 Mei lalu.

“Buat masa ini, kami hanya mengeluarkan rak kayu mampu milik dengan harga sekitar RM200 ke bawah sahaja dan merancang mengeluarkan dua hingga empat produk
baharu setiap bulan.

“Rak kayu yang paling mendapat permintaan adalah Ara Planter Shelf kerana rak itu dijadikan tempat meletak pasu bunga kecil dan buku serta koleksi dekorasi lain,” katanya.

Sehingga kini, katanya, Kawood mampu menyiapkan 400 unit sebulan dan mahu me­ningkatkannya kepada 3,000 unit sebulan.

Bekas jurugambar itu berkata, beliau tidak menyangka seni pertukangan yang dijadikan hobi pada awalnya kini menjadi lubuk rezeki baginya bersama dua lagi rakan kongsi yang juga bekas jurugambar syarikat akhbar yang sama.

“Saya dan dua rakan yang juga pengasas bersama, Abdul Razak Abdul Latif, 35, dan Noor Adzrene Mohd Noor, 40, tidak menyangka kehilangan kerja pada Oktober tahun lalu ketika syarikat menghentikan operasi membuka ‘jalan’ atau hikmah kepada pembukaan Kawood ini.

“Pada awalnya, ini hanya permintaan isteri untuk membuat sebuah rak meletak pasu bunga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya tidak pernah terfikir untuk menukar profesion kepada bidang pertukangan walaupun ia menjadi hobi sejak dahulu. Kini, kami bangkit teruskan usaha dengan membina bengkel pertukangan secara kecil-kecil­an,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya