KUALA LUMPUR: Kadar Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan mencatatkan kemerosotan sebanyak 4.0 peratus kepada 100.3 mata, Jun lalu berbanding 104.5 mata dalam bulan sama tahun lalu.
Menurut Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, 39.5 peratus daripada 1,063 item yang diliputi IHPR mencatatkan kenaikan harga pada Jun dengan 53.7 peratus menunjukkan penurunan manakala 6.8 peratus item lagi tidak berubah.
Bagi perbandingan bulanan, kata Mohd. Uzir, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan kenaikan marginal 0.6 peratus sekali gus merupakan perubahan positif pertama tahun ini.
Katanya, peningkatan marginal itu didorong oleh peningkatan indeks perlombongan sebanyak 10.9 peratus serta pertanian, perhutanan dan perikanan berjumlah 10.3 peratus.
“Indeks perlombongan bagaimana pun merekodkan penurunan tertinggi iaitu sebanyak 42.5 peratus diikuti pembuatan 1.2 peratus, bekalan air (1.2 peratus) serta bekalan elektrik dan gas (0.6 peratus).
“Sebaliknya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan pula melonjak 15.1 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perbandingan bulanan bagi pembuatan, bekalan elektrik dan gas serta bekalan air pula mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 0.8, 0.6 dan 0.3 peratus.
Mohd. Uzir berkata, IHPR pengeluaran tempatan bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 mencatatkan penurunan 2.2 peratus berbanding -1.9 untuk tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, IHPR pengeluaran tempatan pada suku kedua tahun ini pula turun 4.9 peratus kepada 100.0 daripada 105.1 pada suku sama 2019 didorong penurunan indeks perlombongan (-51.4 peratus), bekalan air (-1.1 peratus), pembuatan (-0.7 peratus) serta bekalan elektrik dan gas (-0.2 peratus).
Perbandingan suku tahunan pula mendapati IHPR pengeluaran tempatan susut 5.0 peratus berbanding -0.9 peratus pada suku pertama 2020.