KUALA LUMPUR: HSBC Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama dalam usaha mempercepatkan penggunaan teknologi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat besar tempatan (LLC) dan syarikat multinasional (MNC).
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan peningkatan keperluan perniagaan daripada pelbagai saiz untuk menggabungkan penyelesaian dan strategi digital yang inovatif ke dalam operasi harian mereka.
“Kerjasama HSBC dengan MDEC ini akan memberi faedah dan manfaat kepada PKS, LLC dan MNC sekali gus membantu mewujudkan peluang pada waktu yang mencabar ini dengan penggunaan teknologi berkesan.
“Dengan kerjasama MDEC dalam mentransformasi digital ekonomi, kami juga berhasrat untuk memperkukuhkan penggabungan teknologi dan pertumbuhan perniagaan bahan bakar di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan terma MoU, HSBC Malaysia dan MDEC akan mendidik PKS, MNC dan LLC dalam usaha penyesuaian pemasaran dan inisiatif perkongsian pengetahuan.
Ia merangkumi promosi dan pelaksanaan acara seperti seminar, persidangan dan webinar.
Bahagian Pemecut Pertumbuhan Global (GGA) MDEC kini telah menggerakkan 571 syarikat teknologi tempatan untuk membantu 42 syarikat dalam usaha digitalisasi perniagaan sejak Januari tahun ini.
“Penyelesaian teknologi yang digunakan bermula dari pengesanan penipuan hingga automasi data kemasukan dan pemasangan sensor pada mesin untuk mengoptimumkan operasi kilang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri memuji sikap proaktif HSBC Malaysia dalam menyokong organisasi untuk melakukan transformasi digital.
“Usaha ini dapat membangunkan ekosistem digital negara dan menyokong perniagaan tempatan diperkasakan secara digital untuk berkembang ke peringkat global.
“MDEC akan memanfaatkan strategi transformasi digital ekonomi bukan sahaja memajukan agenda digital negara tetapi berpotensi membawa kepada penciptaan teknologi dalam menyelesaikan isu global yang mendesak.
“Kami berharap dapat memupuk lebih banyak kerjasama korporat dalam menarik pelaburan digital ke negara ini menjadikan usaha tersebut sebagai Heart of Digital ASEAN,”katanya.
HSBC Malaysia dan MDEC turut mengenal pasti pelaburan yang disasarkan merangkumi perniagaan di pelbagai sektor termasuk teknologi, penjagaan kesihatan, elektronik, pembuatan dan pendidikan di kebanyakan negara dan tidak terhad kepada China, Amerika Syarikat, Inggeris dan Jepun.
Kerjasama ini juga menjadi penting dalam mendorong negara untuk maju sebagai pusat kuasa digital utama global yang merangkumi khidmat nasihat dan perbankan lain kepada PKS, LLC dan MNC yang ingin memasuki pasaran atau mengembangkan perniagaan mereka di negara ini.