HBA cadang pelepasan cukai pendapatan - Utusan Malaysia

HBA cadang pelepasan cukai pendapatan

Moratorium boleh dilaksanakan secara bersasar dengan tum­puan utama diberikan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah. Gambar FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mencadangkan pelepasan cukai pendapatan selama dua tahun dan cukai bulanan lain kepada peminjam yang masih mempunyai pekerjaan jika moratorium tidak dilanjutkan.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Datuk Chang Kim Loong bagaimanapun berkata, sekiranya moratorium ditamatkan, kerajaan mempunyai pilihan terhad untuk mengurangkan tekanan ditanggung peminjam ter­utama kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.

Beliau turut mencadang­kan supaya moratorium di­sam­bung tetapi dilaksanakan secara bersasar dengan tum­puan utama diberikan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Kita faham moratorium tidak boleh lagi dilakukan secara blanket approach (menyeluruh) tetapi lebih kepada bersasar dalam kumpulan B40 dan isi rumah berpendapatan sederhana (M40) yang boleh membuktikan mereka terjejas teruk akibat Covid-19 termasuk kehilangan pekerjaan.

“Terpulang kepada institusi kewangan dan bank yang terlibat tetapi perlu diingatkan mereka (bank dan institusi ­kewangan) semestinya tidak mahu me­ningkatkan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL),” kata­nya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Setakat 21 Julai, mo­ratorium bayaran balik pinjaman oleh institusi ­kewangan dianggarkan berjumlah RM59 bilion.

Awal bulan ini, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Za­hid me­negaskan bank pusat itu tidak berhasrat untuk ­melanjutkan tempoh enam bulan moratorium bagi mengelakkan kesan yang perlu ditanggung pihak bank.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN