KUALA LUMPUR: Harga purata minyak mentah Brent global dijangka berada pada kadar AS$41 setong (RM174.76) tahun ini di sebalik permintaan pemulihan yang perlahan dan ancaman berterusan Covid-19.
MIDF Research dalam nota kajiannya berpendapat, harga minyak mentah akan terus didagangkan rendah menjelang penghujung tahun ini disebabkan kes baharu Covid-19 meningkat di 16 negara yang merangkumi 70 peratus penggunaan minyak mentah global.
Menurut firma penyelidikan itu, penurunan kadar harga minyak disebabkan keputusan mengurangkan pengeluaran yang dilakukan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya juga dijangka membuatkan kemerosotan inventori minyak mentah seluruh dunia.
Hal berkenaan juga ditambah dengan pemulihan permintaan global.
“Berdasarkan kepada statistik terbaharu Pentadbiran Maklumat Tenaga A.S (EIA), penggunaan minyak global telah meningkat kepada 10 juta tong sehari (mbpd) pada Jun berbanding April disebabkan ekonomi global kembali dibuka.
“EIA turut menjangkakan inventori minyak mentah dunia akan terus menyusut pada kadar 1.8mbpd menjelang penghujung 2021,” kata nota kajian itu.
MIDF Research turut mengunjurkan pemulihan semula permintaan minyak mentah dalam suku akan datang.
“Kami berpandangan ia tidak akan mengukuh untuk membendung kesan disebabkan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang reda seketika disebabkan penularan Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research juga mengekalkan kadar ‘neutral’ bagi sektor minyak dan gas disebabkan jangkaannya bahawa harga minyak mentah akan didagangkan lemah daripada harga purata Jun dalam suku ketiga 2020.
Penganalisis HLIB Research, Low Jin Wu berpandangan OPEC+ akan mengekalkan sasaran pemotongan 9.7mbpd pengeluaran semasa suku ketiga 2020 bagi meningkatkan harga minyak.
“Walaupun pematuhan hanya 85 peratus pada Mei dan 90 peratus pada Jun, kami percaya kepatuhan OPEC+ akan lebih tinggi pada Julai dan Ogos walaupun pelan asal untuk mengurangkan pengeluaran dua juta kepada 7.7mbpd daripada Ogos sekali gus membawa keseimbangan pasaran minyak.
“Tambahan pula, penurunan pengeluaran AS disebabkan penutupan pelantar minyak akan memberi impak mendorong pasaran minyak mencapai keseimbangan,” katanya dalam nota kajian.