KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) menyasarkan sebanyak 50,000 tan metrik (MT) jualan makanan dan nutrisi haiwan yang berkualiti bagi pertumbuhan yang menggalakkan dalam perkongsian pengedar dapat dicapai pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan lebih banyak pengedar terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha mengembangkan perniagaan makanan dan nutrisi haiwan bagi menembusi pasaran di seluruh negara.
FGV melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian perkongsian pengedaran dengan My Agro Hub Resources (My Agro Hub) bagi memasarkan kira-kira anggaran 30 MT setiap bulan bagi makanan haiwan yang diformulasikan kepada petani lembu tenusu, lembu daging dan kambing ke Negeri Sembilan dan Melaka.
“FGV mengenalpasti, makanan dan protein haiwan sebagai aliran pendapatan yang semakin penting di bawah sektor Pertanian Bersepadu.
“Dengan lebihan bahan mentah yang berasal dari ladang dan kilang kelapa sawit FGV, kami dapat menghasilkan sehingga 400,000 MT makanan haiwan berkhasiat setiap tahun.
“Sumber dedak isirung sawit yang diperolehi secara dalaman sebagai salah satu ramuan makanan haiwan sangat penting untuk memastikan makanan ini dihasilkan dengan standard yang tinggi demi menjaga kualiti dan kesihatan ternakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, sumber bahan dalaman juga sangat penting untuk pengesanan, yang merupakan ciri utama produk keluaran FGV kerana pihaknya yakin sumber bahan-bahan daripada penghasilan makanan haiwan tersebut.
Ujarnya, My Agro Hub akan menikmati semua faedah dan kaedah yang disediakan oleh FGV yang dilantik sebagai pengedar produk makanan haiwan FGV.
“My Agro Hub juga akan menjadi antara beberapa ladang pertama yang menguji makanan kambing formulasi FGV yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Kedua-dua pihak akan menyasarkan petani tempatan serta kedai makanan haiwan dan peruncit di Negeri Sembilan dan Melaka. My Agro Hub juga adalah pembekal makanan haiwan halal untuk petani tempatan di dua negeri tersebut.
Pada awal tahun ini, FGV menandatangani perjanjian dengan enam pengedar di negeri Pahang, Kelantan, Selangor dan Kedah. FGV merancang untuk menggandakan jumlah pengedar pada akhir tahun termasuk pengedar untuk negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
“Bagi meningkatkan jangkauan pasaran para petani untuk makanan dan nutrisi haiwan yang berkualiti, FGV akan mendorong PKS yang berpotensi untuk setiap daerah agar mendaftar dengan FGV sebagai pengedar yang dilantik.
Dengan pertumbuhan yang menggalakkan dalam perkongsian pengedar, FGV yakin bahawa sasaran sebanyak 50,000 MT untuk jumlah jualan pada tahun ini dapat dicapai.