WASHINGTON: Walaupun telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, namun ekonomi global tetap berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk risiko kemungkinan berlakunya gelombang kedua Covid-19.
Perkara itu disuarakan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva yang turut memberi peringatan kepada kerajaan setiap negara supaya bersedia dengan program sokongan masing-masing.
Beliau mengakui tahap hutang negara agak membimbangkan dan beranggapan kos risiko lebih tinggi berbanding pelan sokongan berterusan kerajaan.
“Banyak negara telah mula membuka semula ekonomi dan itu menunjukkan kita telah memasuki fasa baharu berhadapan krisis ini serta memerlukan langkah dan polisi pemulihan yang lebih mapan.
“Aktiviti ekonomi telah mula pulih secara perlahan-lahan tetapi kita belum keluar daripada bahaya lagi,” kata Georgieva dalam pesanan kepada Menteri Kewangan 20 negara ekonomi dunia (G20) menjelang pertemuan di Arab Saudi, hujung minggu ini.
Bulan lalu, IMF yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS) telah menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global kepada 4.9 peratus tahun ini disebabkan penguncupan lebih tinggi semasa tempoh kawalan pergerakan dengan pemulihan besar hanya dijangka berlaku tahun hadapan.
Tambah Georgieva, pakej rangsangan bernilai AS$11 trilion (RM46.98 trilion) yang diumumkan negara G20 membantu mencegah impak lebih buruk tetapi jaringan keselamatan tersebut bukan sahaja perlu diteruskan bahkan diperluaskan lagi.
“Langkah yang dilaksanakan seperti cuti sakit bergaji bagi keluarga berpendapatan rendah dan akses kepada penjagaan kesihatan serta insurans bagi penganggur adalah tepat tetapi proses pemulihan berhadapan risiko besar termasuk kemungkinan berlaku gelombang kedua global,” katanya.
Georgieva berkata, kebanyakan pekerjaan ‘tradisi’ yang telah hilang selepas penularan pandemik tersebut mungkin tidak akan kembali semula, sekali gus membuatkan pekerja memerlukan sokongan dan latihan untuk bekerja dalam sektor lain.
“Apa yang pasti penularan pandemik ini kemungkinan besar akan meningkatkan kadar kemiskinan dan jurang ketidaksamaan makin besar dengan pemerintah hanya mempunyai satu dalam sejuta peluang bagi membina dunia lebih baik, hijau dan saksama,” katanya. – AFP