KUALA LUMPUR: Penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi impak negatif kepada ekonomi tetapi juga menyebabkan kemerosotan prestasi media tradisional dalam separuh kedua tahun ini.
AmInvestment Bank Bhd. dalam nota kajiannya berkata, unjuran negatif terhadap sektor media itu adalah disebabkan prestasi langganan media tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen yang makin menjunam.
Pada masa sama, menurut AmInvestment Bank, perubahan struktur kepada penawaran digital, unjuran perbelanjaan iklan (adex) lemah dan pertumbuhan pendapatan digital yang semakin menurun juga menjadi faktor kemerosotan prestasi media tradisional.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan kadar cadangan ‘neutral’ terhadap sektor media bagi separuh kedua tahun ini disebabkan suasana operasi yang terus mencabar.
“Kami percaya suasana ekonomi yang mencabar pada masa akan datang menyebabkan pengiklan semakin berhati-hati dan berjimat dalam berbelanja. Penundaan acara sukan besar seperti Piala Eropah UEFA dan Sukan Olimpik Tokyo juga menyebabkan mereka makin berhati-hati.
“Penjualan akhbar dan pendapatan radio tradisional juga terkesan akibat Covid-19 apabila pelanggan makin kurang mengunjungi kedai akhbar dan bergerak keluar daripada rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala makin ramai bekerja di rumah,” katanya dalam nota kajian itu.
Memetik Nielsen Ad Intel, AmInvestment Bank juga berkata, adex bagi keseluruhan industri media berada pada paras RM1.1 bilion bagi suku pertama 2020 jatuh sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu disebabkan penurunan akhbar dan perbelanjaan iklan pawagam.
Semasa majlis pelancaran semula Utusan Malaysia dan Kosmo!, Sabtu lalu, bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, industri media dan akhbar perlu menjana perolehan mencukupi bagi membiayai perbelanjaan operasi serta berusaha menuju keuntungan sebagai entiti perniagaan.
Johari turut berkata, penerbitan akhbar adalah satu perniagaan yang mana pembaca sebagai pelanggan menginginkan bahan bacaan yang dapat mencerna pemikiran intelek dan dalam masa sama mampu menjana perolehan.
AmInvestment Bank berkata, syarikat media perlu meningkatkan kecekapan operasi dengan mengamalkan kaedah penjimatan kos bagi mengurangkan impak pengurangan pendapatan dalam suasana mencabar ketika ini.