KUALA LUMPUR: Syarikat perlu menilai semula perniagaan dan unjuran sebelum menyenaraikannya di papan utama Bursa Malaysia berikutan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kewangan yang baik adalah perkara utama perlu diketahui ketika menyenaraikan syarikat ke dalam pasaran.
Katanya, setakat Jun lalu, sebanyak tujuh sasaran tawaran awam permulaan (IPO) sudah diselesaikan dan selebihnya akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.
“Kami akan menyemak semula sasaran IPO tahun ini kepada 25 penyenaraian berbanding sasaran sebelum ini sebanyak 40 IPO.
“Daripada 25 IPO itu, dua adalah di Pasaran Utama, 16 di Pasaran ACE dan selebihnya di Pasaran LEAP. Namun, kami berharap untuk melihat lebih banyak syarikat disenaraikan yang tertangguh disebabkan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar keputusan kewangan Bursa Malaysia bagi separuh pertama 2020 di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Kewangannya, Rosidah Baharom.
Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan bersih RM151 juta bagi separuh pertama berakhir 30 Jun, peningkatan 62 peratus berbanding RM93.2 juta yang diraih dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu didorong oleh pendapatan operasi lebih tinggi yang meningkat 33.6 peratus kepada RM320.7 juta berbanding RM240 juta pada separuh pertama 2019.
Sementara itu, perbelanjaan operasi keseluruhan pada enam bulan pertama 2020 meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada RM127.1 juta berbanding RM122.6 juta pada separuh pertama 2019 disebabkan kos teknologi dan kakitangan lebih tinggi.
Dalam kenyataan semalam, Bursa Malaysia memaklumkan, prestasi kewangan bagi separuh pertama 2020 adalah yang terbaik sejak penyenaraiannya pada 2005.
Muhamad Umar berkata, usaha berterusan untuk meningkatkan kerancakan pasaran dan mudah tunai memberi impak positif.
“Kami menyaksikan penyertaan runcit yang besar dan mencatatkan dagangan tertinggi dalam sejarah Bursa iaitu 12.5 bilion pada 20 Jun. Kemunculan golongan millennial dalam pasaran juga amat memberangsangkan dan keadaan itu menjadi sesuatu yang sememangnya kita berusaha mencapainya,” katanya