KUALA LUMPUR: Langkah pantas kerajaan mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dilihat sebagai tindakan bijak menangani kelembapan ekonomi negara.
Walau bagaimanapun, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berpendapat kesan sejauh mana semua pakej itu memberi impak langsung kepada ekonomi hanya dapat dirasakan dalam tempoh tiga bulan.
Menurut Tengku Mohamad Rizam yang berpengalaman luas dalam bidang perbankan, pengenalan pakej rangsangan itu memerlukan pemantauan berterusan bagi memastikan kesan efektif kepada ekonomi dan masyarakat.
Katanya, cabaran lebih besar dijangka dihadapi menjelang penghujung tahun ini memandangkan impak ekonomi akan jelas dirasai pada tempoh tersebut.
“Keadaan ekonomi yang kita hadapi sekarang ini agak terkawal tetapi cabarannya ialah pada akhir tahun ini. Saya rasa kita harus bersedia untuk tangani cabaran lebih besar dan mungkin tahun hadapan juga.
“Kebiasaannya krisis ekonomi seperti ini memerlukan jangka masa lebih kurang enam bulan kerana impaknya tidak dirasai secara terus tetapi selepas enam bulan,” katanya dalam Wacana Diraja: Ekonomi Negara Pasca-Covid-19 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.
Kesan domino akibat penularan Covid-19 telah menekan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi daripada 4.5 peratus kepada -0.1 peratus, April lalu.
Pada masa sama, Tengku Mohamad Rizam berkata, negara bernasib baik bukan sahaja disebabkan tindakan pantas kerajaan tetapi juga mempunyai masyarakat yang mementingkan simpanan terutama melibatkan golongan berusia.
“Jika kita lihat kepada pelancongan domestik yang semakin melonjak selepas pelaksanaan PKP Pemulihan, kebanyakannya adalah daripada duit simpanan masing-masing sekali gus mereka akan mengaktifkan ekonomi negara,” katanya.