Bumbung 15 Tesco dilengkapi panel PV - Utusan Malaysia

Bumbung 15 Tesco dilengkapi panel PV

Tenaga yang dihasilkan daripada panel solar PV juga dapat menerangi kira-kira 104 stadium bersaiz Olimpik secara serentak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 cawangan Tesco di seluruh negara dilengkapi dengan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di ruang atas bumbung yang dipasang dalam tempoh 20 tahun hingga 2040.

Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) dan NE Suria Satu Sdn. Bhd. (NESS), syarikat usaha sama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) New Energy dan NEFIN Group (NEFIN) telah menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) jangka panjang terbesar (Tesco-NESS PPA) bagi tenaga solar di Malaysia. 

Pengarah NESS dan Ketua Petronas New Energy, Dr. Jay Mariyappan berkata, PPA adalah bukti aspirasi yang signifikan syarikatnya dalam menyediakan penyelesaian tenaga lestari. 

“Usaha julung kali bersama Tesco menandakan komitmen kami dalam merealisasikan matlamat kelestarian yang dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, fasa pertama projek tersebut secara kolektif menghasilkan sekitar 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun sehingga mengurangkan sekitar 13,624 tan pelepasan karbon ke atmosfera di Tesco yang terpilih dalam matlamat menjadi karbon sifar perniagaan menjelang 2050.

Tenaga yang dihasilkan daripada panel solar PV juga dapat menerangi kira-kira 104 stadium bersaiz Olimpik secara serentak atau 804,905 rumah yang mempunyai tiga bilik tidur selama satu tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NEFIN, Glenn Lim berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Petronas New Energy, dalam menggabungkan kepakaran dan pengalaman melalui tenaga yang diperbaharui termasuk reka bentuk, pelaksanaan penyelesaian solar yang berkualiti tinggi sekali gus merealisasikan peneutralan karbon. 

Petronas kini mempunyai lebih daripada 650MW projek solar yang sedang beroperasi dan sedang dalam pembinaan di India dan Dubai serta lebih 1GW projek sedang dalam pembangunan.

Cawangan yang akan dilengkapi dengan panel solar PV ialah Tesco Mergong, Sungai Petani Selatan, Bukit Mertajam, Rawang, Ipoh, Station 18, Klang, Puchong, Bukit Puchong, Tesco Extra Seremban Jaya, Kulim, Stargate, Seberang Jaya, Jitra dan Kampar. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya