SEREMBAN: Pelawak terkenal, Shuib Sepahtu yang memiliki jenama minuman air boba berasaskan madu lebah, Bubble Bee melebarkan sayap perniagaannya dengan pembukaan cawangan baharu di Senawang, Negeri Sembilan.
Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad berkata, cawangan tersebut merupakan yang kelapan di seluruh negara dan pertama di luar Lembah Klang.
“Saya bersyukur kerana majlis pelancaran cawangan terbaharu ini berjalan dengan lancar.
“Alhamdullilah sama seperti cawangan lain sebelum ini, Bubble Bee Senawang turut mendapat sambutan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bubble Bee di Bandar Prima Senawang, kelmarin.
Menurut Shuib, produk minuman air boba berasaskan madu lebah Bubble Bee itu ‘viral’ sejak diperkenalkan hujung tahun lalu dan pelanggan sanggup beratur panjang.
Pemilik cawangan Senawang, Nik Ruasma Nik Ahmad Ruzi turut memiliki dua cawangan Bubble Bee iaitu di Sentul dan Ampang, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Shuib memberitahu, Bubble Bee menyasarkan untuk membuka 100 cawangan di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
“Niat saya lebih banyak cawangan dibuka lagi banyak peluang pekerjaan saya dapat tawarkan terutama kepada golongan belia,” tambahnya.