KUALA LUMPUR: Institusi perbankan tidak akan memberi lanjutan moratorium secara menyeluruh apabila tamat September ini sebaliknya memilih pendekatan secara bersasar, menurut penganalisis dalam taklimat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) kelmarin.
Dalam nota kajian semalam, penganalisis berpendapat langkah itu berupaya membantu meredakan kebimbangan mengenai kerugian yang akan ditanggung bank sekiranya moratorium secara menyeluruh dilanjutkan.
Menurut nota kajian Kenanga Research, setakat ini kadar ambilan untuk moratorium pinjaman adalah 90 peratus bagi individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) walaupun angka itu semakin berkurangan sekitar 85 peratus memandangkan ada peminjam yang mampu membayar pinjaman.
“BNM lebih cenderung kepada pendekatan bersasar untuk membantu peminjam yang memerlukan dan proses ini sudah bermula,” katanya.
Jun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sedang berbincang dengan institusi kewangan mengenai moratorium berkenaan tetapi terpulang kepada pihak bank sama ada untuk melanjutkannya atau tidak.
Sementara itu, Penganalisis Kanan MIDF Research, Imran Yassin Md. Yusof dalam nota kajian berkata, sektor perbankan masih kekal berdaya tahan menerusi pembinaan modal kukuh sejak beberapa tahun lalu dan berhadapan krisis ekonomi dalam posisi yang teguh.
Katanya, walaupun tiada pembayaran pinjaman berlaku disebabkan moratorium, disebabkan pinjaman itu kekal dalam sistem perbankan, pelaksanaan moratorium tidak mengurangkan kadar kecairan milik bank.
Begitu pun, Imran Yassin berpendapat, nisbah rosot nilai dan pinjaman tidak berbayar (NPL) sektor perbankan akan meningkat selepas moratorium berakhir.
“Kami menjangkakan kos kredit perbankan akan meningkat selepas berakhirnya moratorium tetapi tidak akan mempengaruhi daya tahan bank. Walaupun bank telah membuat beberapa kaedah tambahan dalam suku pertama tahun ini disebabkan faktor makroekonomi, kami berpendapat ia tidak mencukupi.
“Walaupun begitu, disebabkan ketidaktentuan data ekonomi, kami memahami tindakan yang dilakukan untuk menyokong realiti ekonomi termasuk pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan dan BNM.
“Bank juga akan memberi tumpuan kepada usaha menyusun dan menjadualkan semula peminjam bermasalah dalam tempoh moratorium pinjaman,” katanya.
Imran Yassin turut mengekalkan cadangan neutral kepada sektor perbankan susulan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih belum dapat dilihat sepenuhnya dengan impak diyakini terhadap kualiti aset dan pertumbuhan pinjaman.
Saham bagi pemain sektor perbankan termasuk Maybank dan Public Bank juga diletakkan sebagai neutral masing-masing pada harga jangkaan RM8.20 dan RM17.20 tetapi kedudukan kewangan akan kekal stabil.