KUALA LUMPUR: Penangguhan pembayaran balik pinjaman atau moratorium yang bakal berakhir September ini mungkin diganti dengan bantuan secara lebih bersasar oleh pihak bank.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan berkenaan adalah dengan cara memanjangkan tempoh bayaran ansuran sekaligus dapat mengurangkan bayaran bulanan.
Katanya, selain itu, kerajaan juga meminta pihak bank mengubah terma dan syarat perjanjian pinjaman serta mengurangkan kadar faedah.
“Moratorium ini seperti saya sebut berakhir pada akhir September dengan pembukaan ekonomi pada 4 Mei lalu. Rakyat dan perniagaan mula menjana pendapatan dan ada yang sudah boleh membayar semula pinjaman.
“Jadi langkah seterusnya, kerajaan masih berbincang dengan bank-bank tempatan mengenai pertolongan secara lebih bersasar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad sebelum ini meminta Zafrul menyatakan status terkini pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kerajaan digesa melanjutkan tempoh moratorium pembayaran hutang sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan lagi ketika kebimbangan peningkatan jumlah pengangguran dijangka mencecah lebih 1.9 juta orang, kesan daripada pandemik Convid-19. – UTUSAN ONLINE