Tiada sebab bank tolak moratorium bersasar
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan lanjutan moratorium masih lagi menjadi teka-teki dalam kalangan rakyat yang menanti berita baik daripada kerajaan dan pihak institusi kewangan menjelang berakhirnya tempoh itu September ini.
Dalam tempoh dua bulan lagi sebelum berakhir, majoriti rakyat terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) masih berharap moratorium dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya enam bulan lagi bagi memberi keselesaan serta kekurangan bebanan secara bulanan.
Pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa sektor perbankan mengalami kerugian berjumlah RM6.4 bilion seolah-olah memberi ‘petanda’ bahawa moratorium mungkin tidak akan dilanjutkan walaupun secara bersasar.
Begitupun, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, tiada sebab mengapa institusi kewangan dan sektor perbankan menolak untuk melanjutkan pelaksanaan moratorium walaupun secara bersasar.
Menurut Baharom, kedudukan kecairan sektor perbankan berada pada tahap yang sihat sekali gus menunjukkan kemampuan untuk menyerap pelaksanaan moratorium bersasar.
Baharom berkata, jumlah RM6.4 bilion seperti yang diberitahu Tengku Zafrul dalam Sidang Parlimen semalam adalah jumlah apabila moratorium dilakukan secara menyeluruh, bukan bersasar seperti yang diharapkan semua pihak.
“Jumlah itu (RM6.4 bilion) disebabkan moratorium menyeluruh, kalau dilaksanakan secara bersasar jumlah itu jauh lebih kecil. Lagi pun, tahap kecairan bank sangat tinggi dan mampu untuk memberi moratorium bersasar.
“Kita mengakui bank mungkin akan mengalami kekurangan keuntungan tahun ini tetapi jumlah RM6.4 bilion itu sebenarnya bukan kerugian, cuma keuntungan tertunda.
“Kebarangkalian untuk bank berhadapan masalah sekiranya moratorium bersasar dilakukan pun sangat kecil, jadi sebenarnya tidak menjadi kebimbangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tengku Zafrul ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) dalam Sidang Parlimen semalam, memberitahu Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menawarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman atau moratorium automatik selama enam bulan.
Beliau berkata, kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) tetap komited menawarkan perkara itu meskipun industri perbankan dianggarkan berdepan jumlah kerugian pengubahsuaian hari pertama laporan perakaunan Malaysia (IFRS 9) sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium berlangsung.
Minggu lalu, dalam sesi Sidang Parlimen, Tengku Zafrul turut menjelaskan moratorium yang bakal berakhir September ini mungkin diganti dengan bantuan secara bersasar oleh pihak bank.
Ahli Ekonomi Kanan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah pula berpandangan, moratorium secara bersasar sememangnya perlu dilanjutkan untuk tempoh sekurang-kurangnya enam hingga 12 bulan akan datang.
Menurut Adli, tempoh enam bulan hingga satu tahun itu dianggap tempoh kritikal untuk rakyat terutama yang terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan Covid-19 untuk bangkit semula mengatur hidup masing-masing.
Beliau berkata, golongan berisiko tinggi seperti B40 dan M40 yang terkesan sehingga terpaksa menganggur atau pengurangan gaji akibat keadaan ekonomi mendesak ketika ini wajar diberi perhatian untuk lanjutan moratorium.
“Kita perlu lihat konteks siapa yang betul-betul memanfaatkan moratorium sewaktu pelaksanaan menyeluruh ini, adakah B40, M40 atau pun golongan isi rumah berpendapatan tinggi (T20)? Sememangnya B40 dan juga M40 amat memerlukan moratorium kerana mereka tidak mempunyai simpanan mencukupi dalam tempoh mencabar ini.
“Saya kurang bersetuju jika moratorium dihentikan sepenuhnya kerana perkara itu perlu diubahsuai dan diberikan secara bersasar untuk memberi kelegaan kepada rakyat.
“Kita faham sektor kewangan mungkin akan menerima sedikit kerugian tetapi dalam tempoh pemulihan ekonomi, kerugian memang akan ditempuhi setiap sektor, bukan sektor perbankan sahaja,” katanya.