KUALA LUMPUR: Anak syarikat Axiata Group Bhd., Axiata Enterprise memeterai kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi, Telefonica yang berpangkalan di Madrid menjadikannya sebagai satu-satunya rakan dagangan dari Asia di bawah Program Rakan Telefonica.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua syarikat itu memeterai perjanjian untuk bekerjasama dan mendapat manfaat daripada skala bersama, kepakaran gabungan dan kehadiran pasaran.
Katanya, perjanjian itu akan memanfaatkan jejak kedua-dua syarikat di Asia, Eropah dan Amerika Selatan serta permintaan perkhidmatan syarikat itu yang semakin meningkat di rantau ini.
“Perjanjian ini memberi tumpuan jualan kepada keselamatan siber, ‘cloud’ dan internet pelbagai benda (IoT), perkhidmatan data besar dan kerjasama dalam projek strategik.
“Perjanjian ini disokong oleh Program Rakan Telefonica yang dilancarkan pada 2011 dan sebahagian daripada Telefonica Tech yang merangkumi operator telekomunikasi terkemuka lain sebanyak 65 pasaran dalam Eropah, Amerika Selatan, Asia Barat dan Afrika,” kata kenyataan itu.