KUALA LUMPUR: Kumpulan AmBank memperkenalkan AmBank BizHub, program yang menyediakan platform e-dagang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi berinteraksi dengan pengguna dan memudahkan proses urus niaga.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, menerusi program tersebut, PKS dapat beralih kepada khidmat digital atau dalam talian sekali gus membantu mereka mendigitalkan operasi dan saluran perdagangan.
“Penularan wabak Covid-19 menyaksikan peralihan trend pengguna yang mendorong perniagaan untuk meneroka strategi baharu.
“Oleh itu, menerusi AmBank BizHub, syarikat hanya perlu mendaftar platform e-dagang masing-masing secara dalam talian tanpa kos penyediaan. Pendaftaran di platform AmBank BizHub adalah secara percuma. Penyediaannya juga mudah hanya disiapkan dalam masa dua hari.
“Pasukan pakar e-dagang kami akan membantu PKS untuk memuatkan maklumat produk mereka untuk dijual dengan segera. Melalui e-dagang ini, PKS berpotensi meneroka peluang pasaran di AmBank BizHub,” katanya dalam Webinar Pelancaran AmBank BizRace Musim Ke-3 dan Sesi BizConference di sini hari ini.
AmBank BizRace adalah cabaran keusahawanan atau persaingan perniagaan kepada PKS dengan penawaran pelbagai program dalam mengembangkan perniagaan dan berpeluang mendapat pendedahan media untuk perniagaan.
Sebanyak 100 PKS daripada hampir 1,000 yang mendaftar telah dipilih setiap tahun untuk menjadi sebahagian daripada program tersebut yang bermula hari ini hingga 2 September.
Sementara itu, Sulaiman berkata, Ambank akan menyediakan sokongan strategik seperti teknologi dan penyambungan seperti Internet Segala-galanya (IoT).