KUALA LUMPUR: Kumpulan Affin Bank (Affin) dijangka mencatat kerugian RM80 juta berikutan impak kos pelaksanaan moratorium sepanjang tempoh enam bulan ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, 63 peratus daripada jumlah pinjamannya sebanyak RM45 bilion berada di bawah moratorium semasa sehingga akhir September.
Katanya, bank masih melihat keupayaan pengguna meningkat terutama dalam pembelian kereta dan hartanah kerana orang masih berbelanja dan berharap ia dapat bertahan.
“Affin akan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga September namun masih meneliti dan menilai cara untuk membantu pelanggannya.
“Melihat kepada keadaan Covid-19 ketika ini, ia memerlukan masa dalam pemulihan ekonomi dan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih,” katanya dalam sidang akhbar Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-44 berakhir 31 Disember 2019 di sini semalam.
Tambahnya, dari segi pinjaman tidak berbayar (NPL), Wan Razly berkata, bank akan memberi yang terbaik apabila moratorium berakhir September nanti bergantung kepada situasi pemulihan ekonomi negara.
“Hampir 800 peminjam telah berhubung dengan kami namun hanya 50 yang datang untuk menyusun semula pinjaman mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, kumpulan itu menjangkakan pemulihan ekonomi yang lebih baik pada suku keempat.
Sementara itu, Wan Razly turut mengumumkan Pelan Metamorfosi yang dikenali Affiniti Dalam Pergerakan (AIM22) bagi kewangan 2020 hingga 2022 semalam.
“Pelan ini sebahagian dari inisiatif Advance 30 (A30) yang mengambil kira tuas utama seperti meningkatkan margin faedah bersih, meningkatkan pendapatan berasaskan fi, mengurangkan kos dana, mengurus kos dan mengembangkan kemampuan digital kami,” katanya.
Kumpulan Affin mencatatkan keuntungan sebelum cukai selepas zakat (PBT) sebanyak RM677 juta, meningkat sebanyak RM2 juta atau 0.3 peratus berbanding RM675 juta pada tahun kewangan sebelumnya.