KUALA LUMPUR: Pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana dan panjang yang akan diumumkan Oktober ini bakal memberi tumpuan khusus kepada lima isu utama dalam usaha memacu pertumbuhan dan kemampanan pembangunan ekonomi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lima isu itu termasuk membabitkan isu tenaga kerja untuk masa depan, pasaran pekerjaan, kualiti pelaburan, ekonomi digital dan peranan sebahagian institusi awam serta sektor swasta.
Beliau berkata, pelan pemulihan itu juga akan melihat kepada beberapa langkah reformasi ekonomi dengan melakukan pembaharuan utama.
Menurut Mustapa, langkah tersebut merupakan satu daripada tiga dokumen penting kerajaan yang akan diumumkan kepada masyarakat di samping Belanjawan 2021 pada November ini dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada suku pertama tahun hadapan.
“Pelan pemulihan itu adalah peluang kepada kerajaan untuk meneliti dengan mendalam beberapa cabaran yang sedang kita hadapi ketika ini.
“Kewujudannya juga akan menjadi garis panduan untuk pertumbuhan dan kemapanan pembangunan ekonomi negara untuk masa hadapan.
“Setiap dokumen yang akan diumumkan nanti tentunya diikuti dengan rapat oleh pemain sektor swasta dan pada masa sama menjadi asas kukuh bagi ekonomi negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Invest Malaysia 2020-Siri Maya Kedua di sini hari ini.