1.9 juta dijangka hilang kerja - Utusan Malaysia

1.9 juta dijangka hilang kerja

Jika majikan tidak mampu membayar hutang, lebih ramai pekerja akan diberhentikan kerja bagi mengurangkan kos syarikat. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hampir 1.9 juta orang di negara ini akan hilang pekerjaan menjelang hujung tahun ini dan lebih membimbangkan, ia turut membabitkan golongan profesional.

Malah, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) me­ngunjurkan kadar pengangguran akan terus meningkat mencecah 12 peratus daripada keseluruhan 15 juta tenaga kerja di negara ini.

Pada Mei, kadar pengangguran mencapai 5.3 peratus de­ngan 826,100 orang hilang kerja setelah merekodkan paras ter­tinggi pada April, lima peratus, melangkaui kadar pengangguran ketika krisis ekonomi pada 1997 (3.9 peratus) dan kelembapan ekonomi dunia sekitar 2008 (4.1 peratus).

Keadaan ini menurut Pe­ngarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan disebabkan kesukaran majikan membayar hutang dan akhirnya membuat keputusan membuang pekerja bagi mengurangkan beban yang ditanggung syarikat.

“Kita boleh jangkakan pe­ningkatan berterusan dengan kadar pengangguran akan berlaku sebanyak 1.1 peratus pada setiap bulan sehingga Disember.

“Peningkatan ini berlaku berikutan terlalu banyak syarikat yang terjejas dan terpaksa menghentikan operasi.

“Selain itu, tempoh moratorium yang akan berakhir tidak lama lagi menyebabkan majikan tidak mempunyai sumber untuk ‘berdiri sendiri’ dan lebih ramai pekerja turut mengalami kesukaran kerana terpaksa diberhentikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Terdapat pelbagai pihak kini mendesak kerajaan supaya memberi keputusan konkrit berhubung lanjutan moratorium bagi menyelamatkan lebih banyak perniagaan dan juga pekerjaan.

Pada Mac lalu, kerajaan memberi moratorium itu meliputi penangguhan bayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman korporat diberikan selama enam bulan dan akan berakhir 30 September ini bagi membantu individu dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurut Shamsuddin, berdasarkan kajian MEF, peningkatan kadar pengangguran juga mengambil kira golongan profesional yang diberhentikan. Didapati sebanyak 60 peratus golongan profesional, pengurusan, eksekutif dan juruteknik telah diberhentikan sejak Mac lalu.

“Sektor perkilangan dan hospitaliti juga menunjukkan pe­ningkatan kadar pengangguran dengan masing-masing menca­tat sebanyak 23 dan 15 peratus.

“Kadar pengangguran di sekitar Selangor direkodkan paling tinggi iaitu 30 peratus manakala 20 peratus di Kuala Lumpur dengan jumlah keseluruhan pekerja yang diberhentikan sebanyak 15,000 orang sejak Mac dan terus meningkat kepada 50,000 orang pada Jun lalu.

“Jika kerajaan tidak melanjutkan moratorium, insentif atau skim-skim yang diberi, ­lebih ramai yang akan kehila­ngan pekerjaan,” katanya.

MEF, katanya, turut bimbang dengan cabaran yang dilalui oleh pekerja yang diberhentikan susulan akan berlaku persaingan untuk merebut peluang pekerjaan walaupun wujudnya ekonomi gig.

Shamsuddin berkata, kerajaan juga tidak menawarkan peluang pekerjaan kepada semua golongan menyebabkan ramai yang terpaksa bergerak bebas dan menyertai ekonomi gig bagi menyara kehidupan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya