1.5 juta PKS bakal ‘gulung tikar’ - Utusan Malaysia

1.5 juta PKS bakal ‘gulung tikar’

Kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana memulakan operasi sekitar Jun tahun ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terdesak dan terhimpit. Itu yang dialami sebahagian besar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro di negara ini untuk membayar semula pinjaman apabila moratorium tamat 30 September ini.

Malah, mereka juga berkemungkinan menutup perniagaan atau diisytihar muflis sekiranya beban hutang yang ditanggung tidak mampu dilunaskan kepada pihak bank sekali gus memburukkan lagi kadar pengangguran di negara ini.

Lebih membimbangkan, dijangkakan 1.5 juta usahawan PKS bakal gulung tikar jika tiada sebarang keputusan dibuat oleh pihak kerajaan, tegas Ke­tua Sekretariat Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abd. Majid.

Menurut beliau, kira-kira 70 peratus usahawan termasuk 500,000 ahlinya di seluruh negara baru sahaja menjalankan operasi perniagaan dan me­ngumpul modal sejak Jun lalu selepas perniagaan ditutup susulan krisis Covid-19.

“Jumlah itu terdiri daripada penjaja yang berniaga secara membuka gerai atau di tepi jalan dan kawasan yang tidak memerlukan sewaan premis termasuk berniaga dari rumah. Rata-ratanya berusaha mencuba pelbagai cara untuk terus mengekalkan perniagaan.

“Selain perlu membayar hutang, mereka turut mengeluarkan perbelanjaan untuk isi rumah walaupun tiada keuntungan atau wang masuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat melanjutkan moratorium kepada peniaga. Saya kira, bantuan moratorium ini lebih mustahak daripada perkara lain kerana buat masa ini peniaga hanya memerlukan bantuan pinjaman sahaja. Kebanyakannya sudah memulakan operasi dan dalam usaha menstabilkan ekonomi perniagaan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau juga menjangkakan 80 peratus usahawan akan terus beroperasi semula seperti biasa pada Disember ini jika moratorium dapat dilanjutkan manakala sebanyak 20 peratus pula akan terus menutup atau menghentikan perniagaan.

“Sukar untuk menjalankan operasi jika usahawan terbeban dengan hutang. Berikutan itu, kira-kira 20 peratus usahawan yang terlibat dengan sewaan premis antara yang akan menutup perniagaan,” katanya.

PKS termasuk perniagaan mikro adalah tunjang kepada ekonomi negara dengan sumbangan hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menjana lebih 70 peratus pekerjaan dalam negara.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), keseluruhan pembiayaan PKS berjumlah RM287.3 bilion setakat Mei tahun ini.

Menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada PKS dan syarikat pada peringkat per­tengahan untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan per­khidmatan digitalisasi.

Ini termasuk RM100 juta membabitkan Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi; RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah dan RM100 juta Geran Automasi Pintar di mana syarikat yang layak akan me­nerima geran sehingga RM1 juta.

Dalam usaha membantu PKS terbabit dalam sektor kepenti­ngan yang disasarkan, sektor perbankan juga menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS Penjana.

Presiden Persatuan PKS, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, usahawan PKS dan mikro kini cuba berusaha mencari rentak baharu dalam meneruskan perjuangan perniagaan bagi memastikan kelangsungan hidup selepas menghadapi penurunan ketika tempoh PKP, Mac lalu.

“Jika PKS tidak dapat membangunkan perniagaan dan menaikkan jualan mereka pada September dan Oktober ini, berkemungkinan besar mereka tidak dapat membayar pinjaman malah berpotensi tinggi untuk menutup operasi dan muflis.

“Kita boleh anggarkan se­banyak 20 hingga 30 peratus PKS akan menutup perniagaan dan diisytihar muflis jika pelbagai usaha telah dilakukan sejak Jun lalu tidak berhasil pada ­Disember nanti,” katanya.

Beliau memberitahu, usahawan PKS juga telah melaksanakan pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja bagi memastikan perniagaan yang diusahakan selama ini tidak berakhir begitu sahaja.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 30 peratus lagi usahawan PKS yang menjalankan sektor perniagaan antaranya e-dagang, logistik dan farmaseutikal mampu membayar semula pinjaman berikutan mereka tidak terjejas dan amat diperlukan ketika Covid-19.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, sektor pembuatan dijangka terus berhadapan cabaran besar dalam tempoh enam bulan akan datang selepas terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Katanya, ketidakupayaan pemain industri itu untuk ­beroperasi di samping berhadapan kekangan kepada rantaian bekalan, permintaan dan penghantaran barangan membuatkan sektor berkenaan dilihat berdepan kesukaran untuk pulih dengan pantas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya