KUALA LUMPUR : Bagi memberi kelainan dan daya tarikan baharu, himpunan minuman teh dan kopi yang sinonim dengan Sabah akan dipamerkan di Matta Fair yang akan berlangsung pada 6-8 September 2024, di MITEC Kuala Lumpur.
Bermula dari jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam, pameran akan menyediakan Taman Kopi Yit Foh, Tenom dan Ladang Teh Sabah di Zon Sabah sebagai tempat tarikan pelancongan sempena Matta Fair edisi kali ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Tourism, Julinus Jimit, tarikan baharu itu dipercayai dapat memacu usaha untuk mempertingkatkan kehadiran pelancong ke negeri Sabah di Matta Fair termasuk sebagai destinasi pilihan bersama negeri Sarawak untuk ‘Discover Borneo: Malaysia’s Favourite Destination’
“Di sebalik keunikan alam semulajadi, hidupan liar, aktiviti pengembaraan dan tarikan pulau di Sabah, terdapat destinasi agropelancongan yang menghasilkan gabungan minuman paling aromatik di Sabah iaitu kopi dan teh.
“Yit Foh ialah jenama kopi yang terkenal dari Sabah yang ditanam, dituai, dipanggang, dikisar dan dibungkus secara tempatan. Sebagai perintis industri kopi di Negeri di Bawah Bayu, Taman Kopi Yit Foh di Kampung Chinta Mata, Tenom, Sabah kini bukan sekadar kilang kopi.
“Ia telah berkembang menjadi sebuah destinasi pelancongan yang popular untuk bersiar-siar selain mempunyai kemudahan tempat penginapan yang menawan,”katanya.
Selain itu, kata Julinus, minuman Teh Sabah juga adalah antara pilihan kegemaran ramai dan menerusi pameran ini, Matta Fair membuka peluang untuk orang ramai melihat sendiri keunikan minuman tersebut.
“Ladang Teh Sabah adalah salah satu daripada beberapa ladang teh organik di dunia. Daun Teh Sabah yang terbaik, dituai dari kaki Gunung Kinabalu yang terletak kira-kira 2,272 kaki dari paras laut.
“Suhu yang dingin di kawasan tanah tinggi seperti musim bunga, membolehkan hasil kualiti tuaian Teh Sabah yang banyak dan segar. Meskipun tanpa sebarang pewarna tambahan dan bebas semburan kimia, Teh Sabah sememangnya kaya dengan rasa.
“Selain itu, Ladang Teh Sabah juga merupakan titik bersejarah yang penting dalam sejarah Perarakan Maut Perang Dunia Kedua. Pendek kata, selain menyuntik keseronokkan, pameran ini juga dapat memberi kefahaman dan pengetahuan kepada pengunjung,”katanya.
Selain itu, menurut Julinus, pengunjung yang hadir ke Zon Sabah juga akan dihidangkan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan menarik yang disediakan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Antaranya, aktiviti permainan Kumpul 3 untuk Menang’, Treasure Quest dengan hadiah-hadiah menarik untuk dimenangi, mencuba minuman ikonik Sabah dan melihat kraftangan tempatan di gerai Kadaiku.
Tidak cuma itu, STB turut menawarkan baucar rebat pelancongan bernilai sehingga RM150.00, dengan setiap pembelian transaksi yang dibuat daripada mana-mana ejen dan hotel berdaftar dari Sabah.
Untuk edisi Matta Fair kali ini, selain STB, terdapat 33 agensi pelancongan lain yang mengambil bahagian dari Sabah bagi mempromosikan pelbagai acara pelancongan yang akan diadakan di Sabah.
Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang www.sabahtourism.com