Selaraskan dasar pengurusan Covid-19 dengan pelan WHO - MMA - Utusan Malaysia

Selaraskan dasar pengurusan Covid-19 dengan pelan WHO – MMA

PENDUDUK berjalan melepasi lukisan mural menunjukkan petugas kesihatan memakai sut PPE untuk menyebarkan kesedaran mengenai pandemik Covid-19 di Mumbai. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan menerima pakai dasar pencegahan, kawalan dan pengurusan jangka panjang untuk Covid-19 selaras dengan Pelan Kesediaan Strategik dan Tindak Balas Covid-19 2023-2025 yang dikemas kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Presidennya, Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata, wabak itu masih boleh menjadi ancaman besar kepada golongan yang berisiko walaupun WHO memutuskan pandemik Covid-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa.

Katanya, keputusan itu bermaksud dunia kini boleh beralih daripada pandemik Covid-19, tetapi dengan dasar, pencegahan, kawalan dan pengurusan dalam tempoh jangka masa panjang.

Jelasnya, masyarakat juga perlu menerima bahawa wabak itu kekal dan hidup bersama-sama, namun semua alat dan sistem perlu sentiasa bersiap-siaga untuk memastikan jangkitan wabak terkawal.

“Perlu diingat, walaupun pihak berkuasa tertinggi kesihatan telah mengisytiharkan bahawa Covid-19 bukan lagi kecemasan kesihatan global, ia juga menyatakan virus itu masih kekal sebagai ancaman yang ketara.

“Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa walaupun Covid-19 terkawal sekarang dan terdapat tahap imuniti yang tinggi dalam kalangan penduduk di negara ini, kita perlu ingat bahawa wabak itu masih boleh menjadi ancaman besar kepada golongan berisiko dan memberi kesan ke atas sistem penjagaan kesihatan kita dari semasa ke semasa jika kita tidak berwaspada,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memutuskan pandemik Covid-19 bukan lagi sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa  selepas dunia dilanda pandemik sejak tiga tahun lalu.

Dr. Muruga Raj berkata, orang ramai juga disarankan untuk sentiasa menggunakan maklumat yang sudah dikumpulkan dalam memastikan diri mereka, orang tersayang dan orang lain selamat semasa pandemik sebelum ini.

Beliau berkata, MMA juga ingin mengingatkan orang ramai tentang keperluan untuk terus melindungi golongan yang terdedah terutamanya pemakaian pelitup muka.

“Seperti selesema, kita akan dari semasa ke semasa menghadapi gelombang Covid-19 tetapi kita seharusnya sudah biasa dengan semua langkah yang perlu diambil seperti pemakaian pelitup muka apabila mengalami simptom serta ujian kendiri dan mengasingkan diri apabila dikesan positif. Langkah-langkah ini sepatutnya sudah menjadi sifat kedua kepada kita dalam menangani Covid-19.

“Pandemik ini juga telah mengajar kita nilai mencuci tangan yang betul atau sanitasi tangan yang merupakan langkah paling asas dalam pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit yang mana ia tabiat yang harus kita teruskan kerana bukan sahaja membantu mencegah Covid-19, tetapi pelbagai penyakit berjangkit lain,” katanya.

Pada masa sama beliau menambah, wabak Covid-19 juga sudah menyaksikan betapa pentingnya untuk negara mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan.

“Oleh itu kami menggesa kerajaan untuk terus mengutamakan pengukuhan sistem penjagaan kesihatan negara terutamanya dalam membangun dan mengembangkan sumber manusia. Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada kesiapsiagaan wabak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya