Covid-19 di Kedah meningkat 76.7 peratus - Utusan Malaysia

Covid-19 di Kedah meningkat 76.7 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 281 kes Covid-19 dicatatkan di negeri ini antara 23 hingga 29 April lalu iaitu menyaksikan peningkatan sebanyak 76.7 peratus berban­ding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, majoriti kes dilaporkan adalah melalui saringan bergejala iaitu berjumlah 71.9 peratus.

Katanya, kebanyakan kes bagaimanapun hanya bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Pada minggu sama, peratus harian pengisian katil biasa dan rawatan rapi yang diperuntukkan untuk kes-kes Covid-19 di negeri ini berada di bawah paras 25 peratus.

“Secara keseluruhannya sejak permulaan Covid-19, Kedah mencatatkan sejumlah 319,742 kes. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,065 kes dika­tegorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian berkepentingan (VOI).

“Ketika ini, Omicron kekal sebagai satu-satunya varian yang sedang menular,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, setakat ini tiada kes melibatkan sub-varian baharu Covid-19 iaitu Arcturus dilaporkan di Kedah.

“Ketika ini kapasiti perkhid­matan kesihatan di klinik kesihatan dan hospital masih lagi terkawal serta tidak berada pada tahap membebankan.

“Namun berdasarkan pe­ningkatan kes semasa, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengarahkan semua pejabat kesihatan daerah, hospital dan klinik meningkatkan kesiapsiagaan serta pengawasan terhadap semua pesakit yang mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, kempen bagi meningkatkan semula keseda­ran orang ramai terhadap ancaman Covid-19 dibuat melalui pelbagai medium utama dan masyarakat diingatkan agar sentiasa mengambil langkah pencegahan penularan Co­vid-19.

“JKN Kedah akan terus memantau perkembangan situasi pandemik Covid-19 dalam dan luar negara dari semasa ke semasa bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya