KOTA BHARU: Kes jangkitan baharu Covid-19 di negeri ini menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 313 peratus pada minggu epidemiologi ke-13 yang bermula 26 Mac hingga 1 April berbanding sebelumnya.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah peratusan merujuk kepada 211 kes baharu telah direkodkan berbanding 51 kes di minggu epidemiologi ke-12 bermula pada 19 hingga 25 Mac.
Menurutnya, peningkatan kes itu disumbangkan oleh dua kluster baharu yang dilaporkan di negeri ini pada minggu epidemiologi 13.
“Peningkatan kes dan kluster Covid-19 ini berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan bulan Mac lalu.
“Pada masa sama, pergerakan masyarakat yang banyak sewaktu musim cuti sekolah yang lalu dan aktiviti-aktiviti berkumpulan yang berlaku di bulan Ramadan turut menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah kes,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Dr. Zaini memberitahu, walau bagaimanapun peningkatan kes dan kluster di negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal.
Katanya, JKNK meningatkan orang ramai tidak leka dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan kes menjelang perayaan Aidilfitri nanti.
“Masyarakat digalakkan supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka apabila bergejala atau berada di tempat yang sesak, menjaga penjarakkan fizikal, kerap membasuh tangan dan mengamalkan etika batuk serta bersin yang betul.
“Segera melakukan ujian kendiri Covid-19 sekiranya bergejala dan dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya menjadi lebih teruk,” ujarnya.
Dr. Zaini berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan kes selepas musim perayaan nanti.-UTUSAN